Sunday, January 16, 2011

Sahabatku

Teringat kata-kata sahabatku yang menarik akalku untuk merenung lebih jauh dan lebih dalam tentang Ad-Din.. "Selama-lamanya kita memakai pakaian seorang muslim.. Maka jadilah seperti apa yang dipamerkan oleh pakaian kita.."

Yaa,, aku yakin dan bersyukur kerana aku masih menyarungkan jubah seorang muslim ini, dan aku tidak akan sesekali melucutkannya daripada tubuhku, walaupun sesaat cuma.. Namun, itu hanya pemikiran yang berjanji,, Bagaimana pula pelaksanaan oleh tubuh yang menjadi 'alat' atau medium pada ruh Islam itu sendiri? Bagaimana pula dengan bisikan hati kecil sanubari yang adakalanya disapa oleh bisikan syaitan yang bisa melunturkan keimanan? Kerana di saat keimananku masih muda pada nilai takwanya, kadangkala hilang rasionaliti untuk memilih antara bunga atau harumannya.. Antara mutiara atau kaca,, antara rama-rama atau kupu-kupu,, kegembiraan di dunia sahaja atau kebahagiaan di akhirat kelak..Hatiku masih mentah untuk menilai kesahihan pada jalan kebaikan yang sewajarnya aku pilih.. Tetapi dengan kebesaran dan kekuasaanNya, terlintas di fikiran dan hatiku tentang satu perkara yang sering dipandang enteng oleh sebahagian besar golongan manusia.. Pelbagai peranan sebenarnya yang aku pikul sejak pertama kali aku menyarungkan jubah muslim itu.. dan aku kurang pasti akan kesempurnaan hak pada setiap tanggungjawab yang aku pikul setakat ini..

“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap temannya dan sebaik-baik jiran di sisi Allah ialah orang yang terbaik terhadap jirannya”

 (H.R al-Hakim)

"Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.."


Masyaallah.. seketika hati mendengar kata-kata ini, seperti memberikan satu hentakan buat diri yang sedang asyik dengan lamunan akal dalam dunia sendiri.. Beberapa hari lalu, dudukku tidak senang memikirkan kehidupan yang agak kusut pengurusannya.. Soal kesihatan fizikal, emosi dan spiritual, semuanya dalam keadaan celaru tanpa pengendalian yang rapi.. Tidak terniat untuk aku berlaku zalim pada yang hak, tetapi semuanya berlaku tanpa aku duga atau rancang.. Berjujuran air mata yang gugur kerana kekesalan pada diri yang begitu lemah dengan ujianNya.. Adakah aku begitu lemah jika secara lahiriahnya tangisan yang aku pamerkan? Kata sahabatku yang lain, air mata itu bukan tanda kelemahan sebaliknya fitrah seorang manusia apabila sesuatu cabaran itu melebihi had kemampuan kita sebagai seorang manusia biasa.. Aku memegang kata-katanya.. Alhamdulillah, sedikit ketenangan dirasai.. Namun, selesai satu perkara, datang pula pemikiran yang lain.. Adakah aku menepati ciri-ciri seorang sahabat yang digariskan oleh Islam? Jika tiada tertampak ciri-ciri seorang sahabat yang baik pada diri ini, adakah layak diri aku bergelar seorang sahabat? Adakah layak untuk aku hidup dalam kelompok masyarakat yang mulia, yang sering mengasihi sesama manusia keranaNya, sedangkan aku begitu kotor dengan daki-daki jahiliyah? Kali ini, semakin deras jujuran jernih ke pipi setelah menghitung selama mana usiaku tersia sebagai seorang sahabat...

Aku sering menyampaikan hasrat hatiku pada sahabatku..

Aku sangat sayangkan sahabatku..

Begitu monolog dalamanku.. Sahabatku mungkin mempunyai perwatakan seorang sahabat akhirat yang digariskan tadi, tetapi mungkin aku tidak memenuhi syarat-syarat untuk mendapat gelaran 'sahabat akhirat' ini.. Aku mengimbas kembali butir-butir bicara antara aku dan sahabatku.. Adakah perbincangan yang membuahkan manfaat? Atau hanya perbincangan kosong yang membawa tiada erti? Aku tidak tahu mengapa soal ini yang sering aku fikirkan.. Hatiku menjadi luluh acap kali melihat kemesraan sahabatku pada teman-teman rapatnya, yang begitu berbeda dengan kemesraannya padaku.. Bukanlah cemburu atau tidak senang.. Tetapi setiap kali peristiwa ini terjadi, pasti kesedihan dan kepiluan yang menyesak hatiku.. Jika dikumpulkan aku, sahabatku dan teman-temannya, tentunya aku kelihatan begitu asing dalam dunia mereka.. Masakan tidak asing, kerana kemesraan antara mereka disemai oleh barakah dari Illahi sehingga kerinduan untuk bertemu dan berbincang sering membuak-buak. Manakala aku tidak mampu memberikan aura kebaikan pada sahabatku seperti yang dirasainya bersama teman-temannya.. Setiap kali sahabatku berkumpul bersama teman-temannya, aku merasakan sahabatku seperti berlari ke hadapan dan meninggalkan aku begitu jauh ke belakang.. Dari situ, aku menangis sendiri kerana telah hilang tempat bergantung.. Mungkin begitulah gambaran perasaanku yang dapat aku ungkapkan dengan susunan aksara ini..

Adakalanya, aku merasakan sedikit kekurangan yang timbul dalam persahabatan kami.. Seolah-olah wujudnya jurang antara duniaku dan dunianya.. Pada mereka, sifatnya terlahir sedemikian rupa,, pada aku pula, berbeza sekali sifat dan perwatakannya. Aku sangat menghargai kejujuran sifatnya padaku kerana aku rasa akulah orang yang paling mengenalinya.. Namun mengapa masih sukar untuk aku tembusi dirinya? Memang aku akui perbezaan pemikiran dan wavelength kami.. dan atas dasar ini, mungkin kesefahaman sukar dicapai.. 

Aku pernah terbaca tentang satu artikel yang mempunyai perkaitan dengan ciri-ciri sahabat yang baik, di mana; seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya: “Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti berikut:

* Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
* Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
* Jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
* Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
* Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
* Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
* Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
* Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menanyakan kesusahan kamu;
* Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
* Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
* Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
* Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
* Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
* Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.

(adaptasi hasil tulisan yang ditemui)


Kata-kata terakhir dariku,, aku sangat menyayangi sahabatku.. Fenomena yang sama juga aku harapkan daripadanya.. Tiada apa pun dalam entri ini, cuma ingin mengeluarkan sebahagian perasaan yang terbuku dalam hati untuk dilihat dan ditapis oleh sahabatku.. Kalau lintah yang engkau gelarkan, aku terima.. kerana lintah sangat setia pada kulit manusia.. Begitu juga kesetiaanku dalam persahabatan kita..