Monday, November 26, 2018

Surat terbuka buat Adik

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia (yang terdakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Maha Teliti terhadap segala apa yang kamu kerjakan." (Surah An-Nisa', 4: 135)

Allahuakbar...

Ayat ini benar-benar menggugah jiwaku.

Saat kalimah ini terpampang di depan mata...

"JADILAH KAMU PENEGAK KEADILAN, MENJADI SAKSI KERANA ALLAH, WALAUPUN TERHADAP DIRIMU SENDIRI ATAU TERHADAP IBU BAPA DAN KAUM KERABATMU...."

Air mata jernih terus mengalir deras kerana memahami hakikat tanggungjawab yang jelas terbeban kemas di atas pundakku.

..........................................................................................................

To my dearest Adik yang dikasihi fillah,

Saat aku nukilkan warkah maya ini, mungkin engkau sedang hanyut dibuai mimpi. Terhampar selesa tubuhmu di atas kamar pembaringan. Barangkali kegembiraanmu di siang hari begitu mengasyikkan sehingga terbawa ke alam mimpi.

Melihat senyuman yang terukir di bibirmu,
Melihat kegembiraan yang terpancar cerlang di wajahmu,
Pastinya satu anugerah yang terindah untuk aku raikan bersama.

Namun,
Adakalanya senyuman misteri itu adalah kedukaan buatku.
Adakalanya kegembiraan pelik itu adalah kesakitan buatku.

Tahukah engkau mengapa?

Kerana
Pabila senyuman misteri itu bukan kehendak Tuhan.
Pabila kegembiraan pelik itu terdiri bukan atas redha Tuhan.


Adikku yang disayangi fillah,

Tahukah engkau betapa kasih dan sayangnya aku terhadapmu?
Tahukah engkau berapa ramai insan bukan ajnabi yang mengasihimu?
Walau yang terpancar adalah keriuhan berbanding keindahan,
Walau yang terzahir adalah kekerasan berbanding kelembutan,
Walau yang terserlah adalah pengabaian berbanding belaian.

Hakikatnya,
Ia adalah anggapan dusta.
Ia hanyalah penafsiran dari emosi tidak matangmu.
Setiap yang bernama keluargamu, semuanya menaruhkan kasih dan sayang yang tidak pernah berbelah bahagi. Walau berjuta parut luka di hati, air yang dicincang tidak akan pernah putus.
Kerisauan itu tanda sayang.
Kemarahan berkala itu tanda kasih.


Adikku yang disayangi fillah,

Saat engkau mengejar manisnya cinta manusia,
Engkau telah terlupa bahawa tiada cinta yang mampu menandingi kemanisan cinta Tuhan kepada hambaNya.
Saat engkau menagih cinta Sang Lelaki,
Engkau telah terlupa bahawa tiada cinta yang paling mulia nan agung melainkan keikhlasan cinta seorang hamba kepada Tuhannya.
Saat engkau menanti cinta Sang Lelaki,
Engkau telah terlupa bahawa Dia sentiasa setia menanti taruhan jiwamu untukNya.
Saat engkau sanggup berkorban segalanya kerana Sang Lelaki,
Engkau telah terlupa bahawa Dia tidak pernah lokek mencurahkan nikmat kepadamu semata-mata keselesaanmu di Bumi.


Adikku yang disayangi fillah,

Aku amat rindukan peribadimu yang dahulu.
Kelembutan jiwamu bisa menyentuh malah melembutkan kekerasan jiwa di sekelilingmu.
Keprihatinanmu bisa mencairkan keangkuhan jiwa di sekitarmu,
Ketaatanmu bisa menundukkan keegoan jiwa berdekatanmu,
Kebaikanmu bisa mewujudkan perdamaian masyarakat setempat.


Adikku yang dikasihi fillah,

Sedarlah bahawa kemungkaran semakin giat di luar sana.
Bisikan kepada kemaksiatan tidak pernah berhenti dialunkan oleh musuh Tuhan.
Detik aku menyaksikan kemungkaran di setiap inci Bumi, ia adalah sesuatu yang menyakitkan!
Lebih sakit daripada kesengsaraan luka dan torehan pada jasad.
Bertambah sesak apabila kemungkaran itu berlaku terlalu dekat denganku!
Terlalu sesak sehingga air mata kering untuk ditangisi.

Maka,
Peliharalah jiwamu daripada diterobos nafsu syahwat yang tidak diredhaiNya.
Jika benar, ia tetap benar. Jika salah, ia tetap salah, dan perlu dikoreksi.
Janganlah obsesmu pada Si bukan mahram itu menjadikan engkau buta pada perkiraan dan undang-undang Tuhan. Benar tindakan dan hujahnya sekiranya selari dengan Al-Haq. Salah tindakan dan bicaranya sekiranya bercanggah dengan perundanganNya.
Sesungguhnya, ikatan perkahwinan adalah satu ibadah jika disulam dengan sunnah; mengikut syariatNya.
Jadikanlah penyatuan dua hati ini sebagai satu amal yang suci sedari awal ikatan lagi.
Jangan keruhkan ia dengan kemaksiatan di tengah jalan.


Adikku yang disayangi fillah,

Kerisauanku terhadap masa depanmu tidak pernah terhenti.
Kerana masa depanmu yang hakiki adalah antara syurga atau neraka.
Selagi aku masih hidup, tanggungjawab nan besar ini tergalas juga di bahuku.
Sebahagian besar pastinya terbeban atas pundak ibu bapa kita.
Jika benar sayangmu pada ibu bapa dan keluarga, peliharalah hatimu daripada tercemar kemaksiatan hati. Kelak, segala dosamu masih ditanggung oleh mereka.
Biarlah lahirnya kita di dunia, memudahkan lorong ibu bapa kita ke syurga, bukannya memudahkan ke neraka.
Biar sulit di dunia, asalkan senang di akhirat.


Adikku yang disayangi fillah,

Teguran ini bukanlah bermaksud aku cukup sempurna.
Namun, kerana terlalu banyak palitan dosa yang mendorong aku menzahirkannya.
Diriku yang penuh cacat cela pada budi, sama-sama sedang memperbaiki diri.
Kerinduanku pada syurga membuatkan fikiranku terganggu tanpa berpesan-pesan kepada kebenaran.

Semoga kita sama-sama dikumpulkan di Syurga Firdausi.

i_in_z
0040
26112018








Saturday, December 26, 2015

Purnama Yang Menyeru

Keretaku meluncur perlahan sehampirnya di bonggol jalan. Sambil melenggok tayar hadapan pabila bersentuhan dengan muka bonggol, kepalaku terdongak ke langit menikmati keliukan hening malam. Indah. Mataku tertumpu kepada bulan purnama yang dipagari serakan bintang-bintang di kaki langit. Bulan purnama. Satu isyarat yang menegaskan kesuntukan waktu. Tanpa sedar Rabi'ul Awal bakal melabuhkan tirai separa purnama waktu lagi. Kasadnya, beberapa hari sahaja gerbang 2016 Masihi terkuak luas, meninggalkan cita dan rasa sepanjang 2015 di belakang. Namun, cerahnya purnama itu seolah-olah berteriak memanggil aku untuk menahan waktu daripada terus berlalu tanpa toleh yang terakhir. Panggilan muhasabah rupanya. Terima kasih Sang Purnama kerana mengingatkan aku akan amal-amal seputar dua belas purnama yang lalu.

Murobbiku pernah berpesan; kata Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam naskhah Ar-Raqaiq:


"Sesungguhnya pelita dakwah itu tidak akan menyala dan tidak meraih keberhasilan sekiranya para da'ie tidak menyalakan sumbu apinya pada malam hari.


Cahaya dakwah tidak akan mampu untuk mengusir kegelapan jahiliyyah sekiranya pembawa risalah tidak menghidupkan madrasah malam(qiamullail)."


Allahu.. 


Kemudian, berturutan aku diperingatkan tentang perkara pokok yang harus dibaja dalam hati dan diri. Antara lainnya adalah sebuah pertemuan yang Dia anugerahkan sepanjang permusafiranku di Bumi ini, khususnya di 'lorong' ini. Sekiranya kelmarin aku berpeluang MABIT (Malam memBina Iman dan Taqwa), atau kata murobbiku, 'Malam Bersama Insan Tersayang', maka keesokannya seakan-akan Dia menghadirkan insan tersayang itu terpacak di hadapanku. Perkenalan yang sebentar cuma, namun kesegarannya bisa menghidupkan hati yang layu, dan kehangatannya bisa mencairkan kekakuan yang beku. Hairan bukan? Ya, tetapi iman membisakan segala-galanya. Tiada yang mustahil dengan sumbu iman yang jitu!


Tidak banyak yang aku tahu tentangnya. Walaupun secara zahirnya pernah bersua tanpa sedar, namun yang memancing hatiku mungkinlah keikhlasannya memperhambakan diri kepadaNya. Kerana hanya hati yang tulus mampu menyentuh hati-hati yang gusar. Mungkin hatiku juga terpancing tanpa sengaja dek kerana kehalusan budinya, kelembutan bicaranya serta kesucian jiwanya. Jasadnya kuketahui sedang berperang dengan penyakit yang sentiasa dirahsiakan daripada sesiapa. Meskipun begitu, tubuh sederhana tinggi itu begitu kuat melawan serangan-serangan yang menerpa. Aku yakin dan percaya, kekuatannya itu lahir daripada kekuatan dalamannya.


Masakan tidak, di saat seluruh penduduk Bumi asyik bermain dengan lumpur dunia, kerana disangkakan hanya merangkak-rangkak jaraknya menuju akhirat, namun keterbatasan waktu baginya telah membutakan hatinya daripada terpesona dengan keindahan dunia. Seterusnya memustahilkan penyakit wahn (cintakan dunia, takutkan mati/jihad) daripada bertapak di dasar hatinya.


"Ana sangat terkilan dengan para murobbiah dan para du'at yang masih mengacah-acah dengan tarbiyah manusia di bawah mereka. Para sekalian mutarabbi itu telah menyerahkan seluruh jiwa, raga dan kehidupan mereka untuk diacu dan dibentuk oleh kita. Mereka dengan penuh naif mempercayai kita untuk mencorakkan masa hadapan mereka di jalan ini. Ana yang tersepit dengan kemerosotan kesihatan ini sangat memaknai setiap detik waktu. Ana kesuntukan masa..." keluh hati kecil murobbi agung ini.


Aku hanya membatu mengintrospeksi diri. Mungkin aku juga tergolong dalam lambakan murobbi dan da'ie yang pastinya mengecewakan para syuyukh dan pejuang terdahulu, yang bermati-matian dengan peluh dan darah berjihad untuk memastikan kalimah syahadah kembali tertegak di atas muka bumi ini.


"Apa pendapat enti terhadap para da'ie yang merasakan tarbiyah yang diperolehi ketika ini tidak sempurna dan tidak cukup? Selayaknya mereka memperoleh sesuatu yang lebih besar dan hebat daripada murobbi yang bukan calang-calang fikrah dan peribadinya?" tanyaku untuk memecah kesunyian malam.


"Ukhti, ana faham perasaan yang dialami akhowat itu, because i had been in their shoes. Semakin lama kita berada di dalam tarbiyah dan semakin banyak beramal dengan amal dakwi, maka keperluan tarbiyah dan dakwi untuk menampung tanggungjawab itu juga semakin besar. Maka, kekurangan sumber rujukan dan panduan pastinya menyesakkan dada para du'at untuk mengemudi usrah dan mas'uliyah (tanggungjawab) yang nian besar. Namun begitu, seperkara yang perlu kita muhasabahkan bersama...." dia terhenti seketika sebelum meneruskan bicara. Aku menelan liur menantikan muntahan katanya yang mendebarkan.


"Sebanyak mana yang telah kita korbankan dan berikan untuk jalan dakwah ini, sebelum kita meminta hak-hak kita untuk ditunaikan? Mungkin belum termakbul lagi kesempurnaan tarbiyah untuk dibekalkan kepada kita kerana masih belum cukup lagi yang kita berbuat di atas jalan ini. Mungkin belum cukup ikhlas lagi tadhiyah yang kita perdagangkan untukNya.." sambungnya lagi dengan penuh rasa sayu.


"Apa yang penting sebenarnya sepanjang tarbiyah ini, adalah perkara yang sering kali dipandang enteng oleh para murobbiah dan du'at. Kita mengukur keberhasilan dakwah kita dengan kelancaran lidah kita berbicara sebagai murobbi dan muwajih, sebanyak mana undangan kemuwajihan terhadap bahan yang hebat-hebat menjemput kita, ataupun seqowiy mana ahlul QS yang telah kita lahirkan hasil air tangan kemurobbian kita. Tetapi, tanpa disedari penyakit ego sudah mula membarah dalam jiwa kita, nasihat dan teguran akan kita tapis untuk menyerapnya atau tidak, peribadi marhaen seperti Abdullah Ummi Maktum kita layani dengan seminima akhlak. Di mana akhlak kita? Di mana iman kita ketika itu? Syaitan akan sentiasa mencucuk-cucuk jiwa bersih keturunan anak Adam ini agar terpesong daripada jalan ke syurgaNya," aku tersentak dengan butiran bicara yang berselayut di telingaku sebentar tadi.


Ada ketikanya, perbualan ini terpaksa dihentikan sementara waktu, memberi ruang kepadanya untuk bernafas sejenak. Rupanya, penyakitnya itu terkadang membuatkan dirinya rasa loya dan memaksa dirinya untuk muntah bagi mencapai tahap kelegaan dan sedikit selesa. Terlalu minima informasi yang aku perolehi daripada penyakitnya. Mungkinkah akibat sistem pencernaan? Atau sistem peranakan? Aku juga kurang pasti. Terkadang rasa bersalah juga menyinggah di dada, kerana khuwatirlah aku, akibat terlalu banyak bicara denganku merangsang loya dan muntahnya. Seusainya 'urusannya', dia menyambung bicara.


"Mungkinlah yang ingin Allah bersihkan daripada kita adalah keikhlasan hati kita dalam beramal. Kita terlalu masyuk beramal dakwi, siang dan malam bermuayasyah dengan mutarabbi kita, namun kita terlupa mengembalikan kesemua urusan itu kepada Allah. Mungkinlah itu punca kekeringan hati atau perasaan ketidaksempurnaan pada tarbiyah. Apa yang paling penting dalam setiap gerak-geri tarbiyah kita atau tindak-tanduk dakwi kita adalah kita memuhasabahkan diri kita, mengembalikan diri kita semula kepadaNya. Setiap amal itu pastinya memuraqabahkan kita kepadaNya," ujarnya lagi dengan panjang lebar. Aku masih lagi menantikan mutiara-mutiara kata lahir daripada bibirnya. Ternyata dia mendengar bisikanku.


"Lazimkanlah bibirmu dengan zikir, dengan istighfar," aku cuba menyelami maksud tersurat dan tersiratnya.


"Pada peringkat awal, lazimkan lidah ini dengan istighfar. Kemudian, apabila istighfar sudah menjadi permainan lidah, maknai pula maksudnya dalam hati. Seterusnya, lazimkan ia hari-hari dan pada setiap ketika. Kerana akhirnya nanti, hati kita akan hidup dengan istighfar itu tanpa perlu diajar lagi. Itulah sumber yang menghidupkan hati kita. Hati yang disirami dengan istighfar dan zikir yang benar, bukan olok-olok," Allahu..Satu perkara baru yang aku belajar yang aku azamkan untuk dipraktikkan.


Aku yakin aku telah menemui kunci kekuatan jiwanya. Jiwa yang sentiasa dibersihkan dengan zikir itu, dan jiwa yang dibesarkan dengan iradah qowiyah berjihad hingga syahid! Aku masih belum cukup puas memerah fikrah yang tertanam pada ukhti yang seusia denganku ini. Usia yang sama, namun pemikiran dan basirahnya jauh lebih matang daripadaku. Jika ingin dibandingkan kadar ilmu,fikrah dan amalku dengannya, pastilah diriku ini hanyalah bagaikan melukut di tepi gantang, atau bagai enggang dengan pipit jika diajak berterbangan bersama.


Aku bertanya lagi dengan penuh kekaguman terhadap hamasah, himmah dan keteguhan prinsipnya.


"Apa yang mendorong iradah (kemahuan) enti seqowiy (sekuat) ini untuk meneruskan apa yang enti yakini untuk diperjuangkan?Dan bagaimana enti memperoleh basirah yang jelas dan seluas itu terhadap jalan ini?"


"Pertama, kita harus sedar bahawa bila-bila masa sahaja Allah akan menjemput kita. Maka, seharusnya kita sentiasa bersedia dengan amal yang tepu untuk dituai di akhirat sana kelak," sebak hatiku mendengar kalimah yang berunsur tanasuh (nasihat) ini. Pastinya dia begitu arif dengan sakit yang dialaminya itu. Barangkali juga doktor peribadinya sudah menceritakan prognosis terhadap sakitnya yang mendorong setiap langkah kehidupan selepas ini diatur dengan lebih berhati-hati.


"Keduanya, ana punyai cita untuk mentarbiyah para mutarabbi ini agar menjadi seorang sosok peribadi yang jauh lebih hebat daripada ana. Dan yang lebih bagus lagi adalah apabila mereka mampu mentarbiyah ana kembali," aku hanya mengangguk-angguk tanda bersetuju dengannya. Jawapannya bagaikan memukau jiwaku yang sebelumnya terlena dengan buaian duniawi.


Itulah muhasabah dan peringatan terbesar yang Dia anugerahkan kepadaku tahun ini. Pertemuan dengan insan teristimewa yang banyak mengubah pola hidupku. Banyak yang terkesan di hati dan membekas di jiwa. Dia mengajarku memanfaatkan setiap nafas hidup dengan zikrullah, memulakan awal pagi dengan bertemuNya. Bukanlah semua ini tidak pernah menjadi pengetahuanku sepanjang tarbiyah ini, tetapi segala yang terkeluar dari bibirnya seolah-olah pertama kali aku didendangkan dengan madah-madah sakti itu. Kuncinya, hubungan yang akrab denganNya.


Tiada apa yang mampu aku lakukan dengan mujahadah terbesarnya terhadap kesihatannya. Meskipun aku bakal bergelar seorang doktor, Allah jua sumber segala syifa' dan kesembuhan. Jika diizinkan untuk aku berkongsi kesakitannya, sudi juga kiranya aku tawarkan tubuh ini untuk turut merasai sengsara dan kepedihan jasad. Kerana sudah mula berputik rasa sayang dan manisnya ukhuwah ini selama bersamanya, biarpun sekadar di alam maya. Hakikatnya, roh-roh yang dijalin dengan ikatan aqidah yang samalah yang berhubung di alam maya itu. Hanya bingkisan doa yang dikirimkan hari-hari yang bisa menguatkan dirinya. Aku yakin dirinya amat kental, kuat dan tabah untuk menghadapi apa yang mendatang kepadanya. Meski kita tidak tahu bila diizinkanNya untuk bertemu di dunia ini, diharapnya kita tetap bertemu dalam rantaian doa-doa kita dan tahajud kita. Salam ukhuwah dan kasih dan rindu dariku.


Monday, March 24, 2014

Catalyst-ku

Assalamualaikum..

Ke hadapan ukhtiku sayang…

Kaifa haluki wa imanuki? Apa khabarmu dan imanmu?
Diharapnya jawapan kepada soalan ini sentiasa baik dan berfasa pembaikan dari masa ke semasa. Meski jasad kita berada di dua benua berbeza, tetapi kuharapkan ruh kita sentiasa bersatu dalam tahajud dan doa kita hari-hari..

Allah adalah sebaik-baik Perancang. Dia telah menetapkan suatu perancangan yang sering kali berlaku di luar jangkaan kita, manusia yang dhaif dan sangat terbatas pemikiran dan pengetahuannya tentang masa hadapan. Apa yang pasti, perancanganNya adalah yang terbaik. Perancangan yang terbaik sehingga tidak terjangkau akal kita memikirkan hikmah yang terselit di sebalik pelbagai peristiwa yang mendatang. Kerana pena telah diangkat dan lembaran sudah pun kering, seperti yang telah tercatat di Luh Mahfuz sana, engkau ditakdirkanNya menyusul dahulu dalam perjuangan kita di medan sebenar dakwah ilallah ini.

Mungkinlah kerana palitan jahiliah dan kekurangan yang serba-serbi pada diriku, serta kekuatan yang mendasar pada dirimu, menjadi asbab takdirNya sebegini rupa. Kehadiranmu di sana menjadi harapan besar kami di sini. Pengharapan untuk mencari kunci kepada ‘permainan’ tarbiyah yang masih kabur coraknya, dan yang boleh jadi mengelirukan rentak permainannya. Pengharapan untuk menguatkan benteng pertahanan daripada asakan ikan-ikan Hari Sabat yang kian menyelerakan. Pengharapan untuk membuka sedikit ruang nafas dakwah setelah dada asyik disempitkan oleh konflik-konflik kefahaman yang mencapah, konflik-konflik yang tidak ketahuan punca sebenarnya, konflik-konflik yang menumbuhkan rasa takut dan risau aku di sini dan di kala ini..

Wahai ukhtiku sayang,

     Jika imanmu dan hamasahmu sedang melonjak, mungkinlah derapan dakwahmu bergema kuat hingga bunyinya tersebar ke benua ini, serta ekoran keimananmu bisa menggetarkan musuh di hadapan. Namun, jika imanmu dan hamasahmu sedang memudar, mungkinlah langkah dakwahmu juga kian melesu, syaitan-syaitan dan tenteranya sedang asyik bergayut di hatimu sambil membisikkan kalimah futur. Di saat ini, aku ingin membawa engkau menelusuri sebuah kisah,,, kisah seseorang yang aku sendiri cemburui sifat dan perwatakannya,,, kisah seseorang yang mungkin membuatkan kita malu dengan diri sendiri atas futur yang remeh ini,,, kisah seseorang yang diharapkan dapat menetaskan sebutir keimanan dan hamasah untuk kembali berbuat di jalan ini... Tidaklah banyak yang aku tahu tentangnya, tetapi beberapa episod kehidupannya begitu mengharukan jiwa ini...

Pabila diperdengarkan tentang kisahnya, timbul perasaan cemburu aku terhadapnya. Masakan tidak, keakrabannya dan kesetiaannya terhadap kekasih Allah, Rasulullah s.a.w menjadikan beliau antara watak yang teristimewa sepanjang hayat Rasulullah sendiri.

Sebelum turunnya perintah berhijrah, beliau telah pun menyediakan unta dan sedikit harta untuk hijrah tersebut. Betapa sensitif dan pekanya beliau terhadap keperluan dakwah. Hanya waqi’e (suasana/keadaan/environment) yang terpampang, beliau sudah arif menafsirkan keperluan dakwah pada masa yang mendatang. Seorang doktor pun memerlukan informasi yang mencukupi sebelum mendiagnos sesuatu penyakit. Boleh jadi history taking menjadi panjang lebar dan berlanjutan beberapa hari untuk memastikan signs and symptoms menepati diagnosis tersebut. Tetapi, bagaimana seorang manusia biasa mampu menafsir dengan tepat jangkaan dalam jalan dakwah ini? Mungkinlah kerana akrabnya beliau dengan Rasulullah, akrabnya beliau terhadap kehidupan dakwah itu sendiri menjadikan diagnosis dakwah ini begitu mudah. Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada hambaNya yang suci, tulus, mulus dan ikhlas menyembahNya.

          Jika dibandingkan dengan diri kita, berapa jauhkah jaraknya antara kehidupan Sang Da’ie Rabbani itu dengan rutin harian kita? Sudahkah cukup kesetiaan kita kepada jalan dakwah ilallah ini? Mungkin kerana hati belum cukup sempurna mencintai jalan ini, kesetiaan terhadapNya masih diragui ketulenannya, kerana itu tafsiran tepat pada permasalahan dakwah masih terhijab pada diri ini. Meskipun sudah melimpah klu yang dicampakkan olehNya terhadap umat zaman ini, jalan penyelesaiannya masih menemui kebuntuan, pencerahan daripadaNya masih terbantut. Ini semua akibat daripada dosa-dosa lampau kita, akibat daripada jahiliah-jahiliah yang sukar dilepaskan daripada diri.

         Apa yang terjadi seterusnya?

          Ya, setelah turunnya perintah hijrah daripada Allah, beliaulah sahabat setia yang menemani penghijrahan Rasulullah s.a.w. Beliaulah insan yang menemani perjalanan yang cukup mencemaskan dan mendebarkan ini. Tanpa rasa takut dan gentar. Tanpa menoleh ke belakang dan menuding jari ke arah orang lain sebagai alasan seorang yang pengecut. Sehingga peristiwa ini dan perbualan mereka dicatatkan di dalam Surah At-Taubah, 9: 40;

“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) ketika dia diusir oleh orang-orang kafir (dari kampung halamannya), dalam keadaan berdua orang sahaja di dalam suatu gua, di kala itu dia (Muhammad) berkata kepada sahabat karibnya : Jangan engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhan bersama kita. Tuhan menurunkan ketenangan kepadanya dan dikuatkannya dengan tentera yang tidak kamu lihat. Dan Tuhan menjadikan perkataan orang kafir itu paling rendah dan perkataan Tuhan itu yang amat tinggi. Dan Tuhan Maha Kuasa dan Bijaksana.”

          Alangkah bahagianya hidup beliau kerana mendapat jawapan langsung daripada Allah. Dekatnya rasa dengan Allah itu lebih dirasai dan mampu dihayati sepenuh jiwa.

Ma’iyatullah.

Itulah rahsianya.

Ma’iyatullah (Kebersamaan Allah) yang menemani perjalanan mereka. Itu yang menjadikan perjalanan mereka berharga. Bukan sekadar Ma’iyah Al-Ammah (Kebersamaan Allah yang umum) yang mereka perolehi, malah Ma’iyah Al-Khasah (Kebersamaan Allah yang khusus) sudah membuktikan kebenaran dan kemenangan berpihak kepada mereka. Di saat hati gentar dengan kekuatan musuh, keadaan pula meruncing seperti telur di hujung tanduk, ma’iyatullah yang menenangkan mereka. Bukankah sudah cukup Allah sebagai peneman hidup kita? Bukanlah peneman di siang hari sahaja, atau peneman di malam hari cuma. Bahkan bukan sekadar peneman di kala lapang atau sempit, susah atau senang, suka atau berduka. Tetapi, pabila janji Allah dikatakan untuk bersama hambaNya, dikotakannya menjadi teman sejati kita pada setiap ketika! Allahuakbar…

Wahai ukhtiku sayang,

          Seperkara lagi yang ingin aku kongsikan tentangnya. Sesuatu yang bisa membuat kita terdiam kerana kekaguman yang melampau terhadap keimanannya. Suatu hari, di saat Rasulullah s.a.w bersama para sahabatnya, baginda berkata,

          “Timbangan yang paling berat adalah timbangan Umar Al-Khattab…”

Para sahabat terpinga-pinga dengan kenyataan baginda. Masing-masing bertanyakan tentang status si sahabat karib baginda. Sedangkan, beliaulah yang sentiasa fastabiq, berlumba-lumba dalam mengerjakan apa-apa kebaikan, beliaulah yang lebih banyak meluangkan masa bersama baginda, beliaulah pemula kepada segala kebaikan setelah diberitakan oleh Rasulullah. Jadi, mana mungkin Saidina Umar yang meraih takhta ini…
Maka, jawab baginda s.a.w;

          “For the likes of him, there is no scale…”

“Untuk orang yang seperti beliau, tiada penimbang yang bisa menimbang amalannya…”

Allahuakbar…

Tahukah engkau apakah maksudnya jawapan baginda ini?
Ini bermaksud amalan beliau terlalu banyak dan berat sehingga tiada penimbang yang mampu menimbang banyaknya amalan beliau! Subhanallah…

Inilah susuk tubuh seorang tokoh yang wajar disegani oleh semua kelompok manusia, Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Bukan ‘kepimpinan’ Bush, Barrack Obama etc yang menjadi sanjungan. Atau ‘kredibiliti’ Lee Dong Wook, 2PM, SNSD, CN Blue etc dalam dunia kesenian yang menjadi kegilaan masyarakat. Atau ‘kehebatan’ Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Maya Karin etc sebagai anak seni yang menjadi ikutan.

Sebaliknya susuk peribadi seperti Saidina Abu Bakar ini yang patut dikuasai sifatnya. Seorang lelaki yang mulia, yang mendapat jolokan ‘As-Siddiq’ (yang membenarkan) daripada Rasulullah sendiri kerana beliaulah satu-satunya insan yang membenarkan segala-gala yang datang daripada baginda s.a.w, di saat masyarakat menafikan peristiwa isra’ mi’raj yang dianggap tidak masuk akal.

Beliaulah lelaki pertama yang memeluk Islam setelah keislaman Siti Khadijah.

Beliaulah antara saudagar kaya yang menyumbangkan harta dan sepenuh jiwa fi sabilillah (di jalan Allah).

Beliaulah antara yang membarisi saf hadapan dalam setiap siri ghazwah (perang) memerangi kebatilan.

Beliaulah antara tulang belakang Islam yang menyokong permulaan dakwah Rasulullah, hingga kewafatan baginda.

Beliaulah sahabat yang jika ditimbangkan keimanan seisi Bumi sekalipun, timbangan masih memberat kepada keimanan Saidina Abu Bakar.

Beliaulah antara 10 sahabat yang dijanjikan syurgaNya.

Beliaulah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq…

Beliaulah… Beliaulah… Beliaulah…

Beliaulah Saidina Abu Bakar As-Siddiq…


          Seseorang yang menjadi pemangkin semangatku di jalan ini. Begitu teruja aku mendengar kisahnya, dan jiwa tidak pernah kering setiap kali diperdengarkan tentangnya. Aku juga ingin menjadi sepertinya. Seorang yang sangat dekat dengan baginda. Kerana dekatnya juga hubungannya dengan Sang Pencipta ini menjadikan beliau turut disayangi dan disanjungi oleh masyarakat di setiap zaman. Itu juga menjadi cita-cita terbesarku.
Hidup untuk Allah, benar-benar menghidupkan jiwa sendiri dan jiwa umat dunia. Serta mengakhiri kehidupan dengan kematian yang luar biasa, iaitu kematian yang menghidupkan, dengan bergelar sebagai seorang syuhada’.

“Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam,” (Al-An’am, 6: 162)


Maka ukhtiku sayang,

Selamat meneruskan perjuangan di sana!

Nantikan kepulanganku dan kami di sini untuk turut bersama berair mata darah berjuang di jalan ini. Enam bulan bukanlah tempoh yang panjang atau lama bagi seorang da’ie. Kerana masih banyak lompong yang perlu diperbaiki pada diri ini, sebelum layak berbaris bersama pejuang kental sepertimu! 

     

Tuesday, January 28, 2014

Kun Fa Ya Kun

Perasaanku bercampur-baur. Adakalanya takut, adakalanya seram, adakalanya risau. Seorang diri menantikan ketibaan sebuah bas untuk menjemputku menyeru ke sebuah kawasan. Khabar yang baru diperdengarkan tadi juga berterusan menghantui benak fikiran dan perasaanku. Semua perasaan ini bersatu dan membuatkan jiwaku tidak tenteram. Tiada walau sesaat pun ketenangan menyinggah ke hati ini. Masih terngiang-ngiang butiran kata-katanya dan setiap kali memikirkannya membuatkan dahiku berkerut ketat. Adakalanya sebak. Mungkin belum terzahir lagi air mataku, tetapi di dalam hati sudah terobek benar!   

          Sesampainya bas yang dinanti, terpancar sekelumit kelegaan dalam riak wajahku. Tersenyum seorang diri walau tiada siapa yang melambai atau meraikan permusafiranku. Sekurang-kurangnya, debaran seorang diri di stesen bas termansuh perlahan-lahan. Aku terus berdiri dari dudukku dan menaiki bas tersebut. Kemudian, aku mengambil posisi yang selesa di tempatku. Bas pun bertolak pergi. Aku merenung ke luar jendela bas sambil memikirkan apa yang dimuntahkkan oleh bibir dan hatinya siang tadi.

   "Diagnosis doktor di Malaysia adalah endometriosis. 3 doktor pakar ana rujuk dan kesemuanya membuahkan hasil diagnosis yang sama iaitu endometriosis..."

Dahiku berkerut di saat perkhabaran ini sampai ke telingaku. Terkejut! Tidak pernah kusangka, insan yang tertampil ceria setiap kali bertemunya, rupa-rupanya sedang berperang dengan sesuatu yang besar dalam hidupnya. Kelihatan sihat luarannya, tetapi jasadi itu sendiri diuji dengan hebatnya. Pada masa yang sama, otakku ligat bekerja mengimbas kembali aetiology (punca penyakit), pathogenesis (proses terjadinya penyakit tersebut) dan complications bagi endometriosis. Memori lama tentang ilmu Pathology digali kembali untuk memahami status dan risiko penyakit ini terhadap pesakitnya. Jika diikutkan, sudah berkarat ilmu itu akibat lama dibiarkan tidak berasah. Ilmu Pharmacology yang lebih menguasai fikiranku. 

   "Endometriosis?" tanyaku inginkan kepastian yang sebenarnya sudah terbukti jelas di depan mata jawapannya.

   "Ya, endometriosis, the presence of endometrial lining outside uterus." terangnya dengan yakin untuk membenarkan apa yang kudengar tadi.

Satu hakikat yang aku tersedar bahawa ia adalah sesuatu yang tidak normal. Keberadaan tisu endometrium di luar uterus adalah sesuatu yang tidak normal, kerana hakikatnya keberadaan tisu endometrium yang hakiki adalah di uterus sahaja, bukan di lokasi selainnya. Aku sedar bahawa endometriosis adalah satu kondisi yang kurang digemari oleh pemiliknya kerana mempunyai prognosis (jangkaan status penyakit, sama ada baik atau buruk) yang kurang baik. Jika berlaku metastasis (merebak ke organ atau lokasi lain), pasti membarah dan memberi kesan yang lebih buruk kepada organ lain dan seterusnya mengganggu sistem di seluruh tubuh.

Kemudian, sambungnya lagi dengan nada yang lebih perlahan, "Dan doktor mendiagnos ana bahawa ana tidak boleh mengandung..."

     "...ANA TIDAK BOLEH MENGANDUNG..."

Allahuuu..

Kali ini jiwaku benar-benar tersentak. Terkejut. Terkesima.
Mataku tepat memandang ke wajahnya. Kaku lidah ini tanpa bicara. Aku terdiam lama. Lama daripada biasa. Sehinggalah suaranya yang muncul untuk memecahkan kesunyian bicara antara kami.

   "Sahabat ana yang dengar berita ini pun terdiam juga. Sama responnya seperti enti. Tak mengapalah.. Ambillah masa untuk menghadam berita ini..." katanya sambil menghirup kopi panas di hadapannya. Tangannya bermain-main dengan buih kopi itu. Sementara aku mengalihkan pandangan ke arah lain untuk menangkap ruang pandangan yang lebih jauh. Jauh renunganku sambil mendalami perasaan insan kesayanganku yang terpacak di hadapanku.

Ya, aku sedang berfikir dan menghadam berita itu. Sulit benar perasaan ini. Seorang yang sangat ekspresif seperti diriku, tetapi perlu mengawal perasaan dan bicaraku sebaik mungkin. Tersalah langkah dalam melahirkan riak wajah, pastinya mengundang pertemuan yang sia-sia. Liar fikiranku mencari buah kata yang sesuai untuk dilontarkan kepadanya. Tetapi usahaku gagal. Perasaan sebakku lebih mendominasi jiwaku ketika itu.

Refleksi diri menghujani jiwaku.
Mana tidaknya, di saat insan lain sibuk dengan pelbagai konflik diri:

  "Aku ni tak cantik macam dia lah, mesti tiada siapa yang sudi mengahwini aku..."

  "Aku mahu kahwin, tapi tiada calon yang sesuailah..."

  "Ada calon, tapi dia ni bukan ikhwah lah. Tak mahulah..."

  "Dah berkenan kat dia, tapi dia ni ikhwah 'sekolah' lain. Nanti susah pula nak hidup dan memahami kerana berbeza fikrah..."

  "Aduh, banyak betul calon nak pilih ni. Rambang mata ana..."

  "Calon dah ada dah. Tapi parents tak kasi kahwin waktu belajar. Nanti susah bila sudah beranak bagai..."

  "Susah lah nanti kalau suami dan isteri doktor. Siapa nak jaga anak nanti kalau dua-dua busy? Kalau si isteri doktor, si suami dentist pun ok juga..."

Dan bermacam-macam lagi situasi dan dialog yang didendangkan ke telingaku.
Maklumlah, remaja yang usianya sekitar 20-an, pastinya isu baitulmuslim (rumah tangga) ini menjadi topik hangat bagi kelompok manusia ini.

Dan konflik-konflik yang wujud di sekitarku inilah yang mendesak jantungku menjadi semakin sesak. Di saat manusia lain pening dan serabut 'memilih calon' mereka, ukhtiku ini belum tentu pun berjaya ke peringkat 'memilih calon' ini.

   "Ana pun keliru. Adakah wajar ana beritahu kepada calon zauj (suami) tentang kondisi ana ini. Wajarkah enti?" tanyanya padaku.

   "Hurm..aseef..ana tak tahu sangat hukum dan fiqh dalam situasi ini. Tapi, kalau ikut rasional, memang wajarlah beritahu. Sebab kita sudah pun mengetahui penyakit ini sebelum akad nikah berlangsung," jawabku sejujurnya dengan bekalan ilmu fiqh yang sangat minima. Kesal juga atas batasan ilmu di dada, tidak mampu meleraikan persoalan yang membungkam di jiwanya.

   "Ya lah. Kalau ikut rasional dan logik akal, memang perlu beritahulah kan. Pada asalnya memang rancangnya untuk disatukan dengan seorang calon zauj itu. Pilihan keluarga. Memang bersetujulah si lelaki itu untuk dijodohkan dengan ana," katanya. Aku mengerti, keelokan pada paras rupanya tidak memungkinkan mana-mana jejaka pun menolak pilihan keluarga ini.

   "Tetapi, setelah mengetahui kondisi dan situasi ana, faham-fahamlah, ditariknya kembalilah perancangan asal tadi..." ujarnya. Dia terdiam sejenak.

   "Tidaklah dia menolak secara terang-terangan dan jelas. Tetapi ana fahamlah maksud jawapannya..." tambahnya lagi.

Allahu..

Perit benar jiwa ini menanggung khabar ini. Berat mata memandang, memang aku tahu berat lagilah bahu yang memikulnya. Aku yang hanya mendengar ini pun sudah berat dan sakit rasanya. Apatah lagi dirinya, si empunya bebanan. Meskipun situasi ini teremban atas dirinya, ingin sekali aku katakan padanya bahawa aku juga turut merasai beratnya perasaan itu. Kerana jiwanya juga adalah jiwaku, sakitnya dia maka sakit juga aku. Jika boleh dipindahkan bebanan perasaan itu kepadaku, aku rela jiwaku terbeban atas perasaan yang sama. Terasa benar kuatnya dirinya atas ujian yang ditimpa ke atasnya. Aku masih lagi mencari kata, sekurang-kurangnya sesuatu yang dapat menyenangkannya. Namun, gagal. Ku cuba lagi. Tetap gagal! Hanya satu jawapan yang aku temui... iaitu fafirru ilallah.. Kembalilah kepada Allah...

   "Allah tahu enti kuat..." sayu suaraku sambil menyelami perasaannya.

   "Ya lah.. Setiap orang pasti ada ujian yang spesifik untuk dirinya. Enti pernah dengar kan kata-kata ini, 'Ujian yang hebat adalah untuk tenteraNya yang hebat'..Allah tahu enti kuatlah, maka Dia berikan enti ujian sebegini..." kataku lembut sambil cuba menahan air mataku.

   "Kalau ana berada di posisi enti, pertama sekali ana rasa, sangat penting untuk kita bersangka baik dengan Allah. Seorang hamba itu tidak merasakan bahawa Allah sedang menganiayai dirinya di saat diuji dengan sesuatu yang berat. Sebaliknya, seorang hamba itu sewajarnya merasakan bahawa apa yang dihadirkan oleh Allah untuk dirinya adalah sebuah kebaikan. Ujian yang dihadirkan sentiasa Dia sertakan dengan rahmat dan kasih sayangNya..."

   "Setiap kali sebuah ujian dibentangkan di hadapan hambaNya, tiada apa yang ingin Dia harapkan, melainkan untuk kita ini kembali kepadaNya, fafirru ilallah. Kembali bersujud kepadaNya setelah sekian lama jasad ini berjalan angkuh di atas muka BumiNya tanpa menjalankan taklifah yang diamanatkan kepada kita. Rasailah ukhti, bahawa setiap ujian itu adalah panggilan daripadaNya. Panggilan mesra dan kasih seorang tuan terhadap hambaNya..."

Pandangannya masih lagi tertumpu kepada cangkir kopi itu tadi.

   "Enti ingat tak peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria?" soalku untuk membawanya menyelami seerah nubuwwah yang memberi erti besar dan signifikan yang luar biasa bagi setiap makhluk yang bernama manusia. Aku mahu dia rasakan bahawa dia tidak keseorangan dalam menanggung derita ini, sebaliknya telah pun diterokai penderitaan ini sejak zaman para anbiya'.

   "Oh, kisah yang mana satu?" soalnya kembali sambil mengangkat kepala daripada tunduknya.

   "Kisah tentang isteri Nabi Ibrahim dan isteri Nabi Zakaria?" jawabku. Firman Allah;

          (Allah berfirman), 'Wahai Zakaria! Kami berikan khabar gembira kepadamu dengan seorang anak lelaki namanya Yahya, yang Kami belum pernah memberikan nama seperti itu sebelumnya.

          Dia (Zakaria) berkata, 'Ya tuhanku, bagaimana aku akan mempunyai anak, padahal isteriku seorang yang mandul, dan aku sendiri sesungguhnya sudah mencapai usia yang sangat tua?'

          (Allah) berfirman, 'Demikianlah,' Tuhanmu berfirman, 'Hal itu mudah bagiKu, sungguh engkau telah Aku ciptakan sebelum itu, padahal (pada waktu itu) engkau belum berwujud sama sekali.'

[Surah Maryam, 19:7-9]


     "Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria sangat mengharapkan rantaian zuriat terlahir daripada benih mereka. Tetapi, kekhuatiran menyelubungi mereka kerana mereka mengerti sunatullah manusia, bahawa usia yang semakin lanjut tidak memungkinkan zuriat itu mampu dihasilkan. Namun, apa kata Allah? Kata Allah, sesuatu itu pasti berlaku atas izinNya. Kekuasaan Allah pastinya lebih kuat daripada rasional manusia. Kekuasaan Allah mampu menolak segala logik akal manusia. Tiada apa yang mustahil dengan kuasa Allah. Pada kudrat manusia memang tidak mampu berbuat apa-apa, tetapi atas kudrat dan iradat Allah memungkinkan segala-galanya!"

     "Kerana itu wahai ukhtiku sayang, janganlah berputus harap daripadaNya. Kerana hambaNya yang berputus asa dengan rahmatNya adalah hambaNya yang rugi. Teruskan berdoa dan meminta sungguh-sungguh denganNya..."

     "Mungkin ini adalah saat Allah benar-benar ingin menguji keikhlasanmu menyembahNya, Dia ingin menguji keyakinanmu terhadapNya, Dia ingin menguji kebergantunganmu kepadaNya..." sebak benar aku mendengar butir-butir dari bibirku yang diilhamkanNya ini. Terasa seperti Dia ingin menyampaikan kata-kataNya ini kepadaku.

     "Ukhti, bersabarlah dengan ujian ini. Mungkin kita terhijab daripada melihat hikmah peristiwa ini sekarang. Akan tetapi, berkat kesabaran enti mendepani permasalahan ini, mungkin Dia ingin menyediakan seorang teman hidup yang terbaik buat enti.

Itulah si lelaki yang turut tinggi keimanannya dan keyakinannya terhadap janji-janji Allah, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan meyakini bahawa kuasa Allah mengatasi teori manusia.

Itulah si lelaki yang memuncak kebergantungannya kepada Ilahi, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan meyakini bahawa rezeki hidup (cahaya mata) yang diperolehi berkadar langsung dengan kebergantungan kepadaNya.

Itulah si lelaki yang agung kesabarannya, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan bersabar melayari bahtera kehidupan bersama enti dalam menjalankan tugas sebagai abid dan khalifah.

Mungkin ini ciri-ciri zauj yang Dia simpankan untuk enti. Jika tidak diizinkan untuk dipertemukan di dunia ini, mungkinlah ditangguhkan detik kebahagiaan ini di syurgaNya nanti..." jelasku dengan panjang lebar. Aku harapkan sedikit ketenangan menusuk ke dalam jiwanya dengan bawaan kisah para nabi yang jauh lebih berat ujiannya dibandingkan dengan manusia biasa seperti kita.

     "Allah tahu enti kuat.. Allah tahu enti kuat kan.. Enti kuat kan.." tidak jemu kuulang mantera itu untuk memberikan kekuatan kepadanya.

     "Sudah sudah..tidak perlu katakannya berulang kali lagi..." tegahnya. Aku tahu dia khuatiri air mata jernihnya akan terembes di hadapanku jika aku mengulangi mantera itu lagi. Tujuanku tidak lain hanyalah untuk mengukuhkan kekuatan dalamannya, selain daripada bermaksud untuk mendoakan kesabaran dan kesejahteraan agar tersimbah ke dalam hidupnya.

     "Seperkara lagi enti. Untuk pengetahuan enti, ada sahaja seorang ukhti ini tidak mahu berkahwin kerana takut dan risau sekiranya perkahwinan itu melambatkan dakwah dan tarbiyahnya. Jadi, berbalik kepada tujuan kita melangsungkan perkahwinan. Adakah sekadar memenuhi naluri dan fitrah kita yang inginkan pasangan hidup, atau untuk tujuan yang lebih besar lagi? In syaa allah enti, sama-samalah kita berdoa dengan lebih keras lagi. Jika apa yang ditakdirkan untuk kita ini akan mengakrabkan lagi hubungan kita denganNya, marilah kita cuba menerima segala qadarNya dengan selapang-lapang dada dan hati. Semoga kita juga menjadi antara penyumbang tegar Ad-DeenNya dan semoga kita juga terpilih sebagai tenteraNya yang membersihkan Bumi ini daripada taghut dan kejahilan..."

     Itulah bayangan peristiwa yang menemani tidurku malam itu. Tiada tumpuan lain yang lebih menarik fikiran dan hati ini daripada berterusan memikirkan tentangnya. Kalaulah dia tahu betapa sayangnya aku padanya. Meskipun jauh di mata, tetapi dia sentiasa dekat di hati. Kuatkanlah semangat dan kukuhkanlah ikatan dengan Yang Maha Esa. Yakinlah wahai ukhtiku sayang, Dia ada bersamamu selagimana engkau sanggup bersamaNya...

Uhibbuki fillah..

Semoga pertemuan dan perpisahan kita akan menunjangkan keimanan yang mendasar.

Wednesday, September 11, 2013

VISA oh VISA!

Thursday, 5th September 2013

"Sorry mam, we cannot pursue your visa request right now. You have to wait," kata seorang pegawai visa di India Visa Centre.

"Why?Since when?" tanya seorang wanita mahukan kepastian statusnya.

"Oh, it was already implemented since years back right?You will not simply get the visa. You should fill in this form first."

"No no no.. There is no such thing before this. Even a day before my flight, I apply the visa and I get it. You can check my passport for verification," katanya sambil membuka tas tangannya untuk mengambil pasportnya.

"Oh, it is the new policy mam."

Wanita tadi terdiam, dan kemudian bertanya,

"For how long do I have to wait?"

"I'm not sure, may be 1 week, may be 10 days. I'm not sure. I'll check it out. You can fill in this form. My colleague will help you out," katanya sebelum berlalu pergi.

Wanita itu duduk sambil mengerutkan dahinya tanda kekeliruan dengan polisi baru yang sangat asing bagi dirinya. Di belakangnya kelihatan seorang remaja lelaki bersamanya. Anak lelakinya mungkin. Kemudian, datang kembali pegawai visa itu menuju ke wanita tadi dan berkata,

"Sorry mam, it may takes 1 month," sambil menunjukkan muka bersimpati.

"What?Oh my god!!! It's really really nonsense. My flight is on this Monday," jawab wanita tadi separuh menjerit, disoroti dengan raut yang menampilkan penuh rasa kecewa. 

"Sorry mam." Itu saja kalimah yang diulang-ulang oleh pegawai itu. Penampilannya agak tegas walaupun beliau adalah seorang wanita. Aku kira itulah salah satu watak yang perlu ada pada diri seorang da'ie. Tegas dan tetap dengan pendirian sendiri. Yakin diri yang tinggi untuk menyatakan apa yang diyakini, dan berani berhadapan dengan pelbagai jenis ragam mad'u yang terbentang di hadapan.

"Is it the same goes to my son?" tanya wanita itu lagi.

Kata pegawai tadi, visa anaknya tiada masalah. Kemungkinan akan mendapat pengesahan daripada pihak Kedutaan India dalam masa yang terdekat. Yang menjadi masalah adalah ibu bapanya, yang merupakan warganegara Pakistan. Barangkali pesawat yang mereka naiki perlu mendarat di Lapangan Terbang India sebelum tiba ke Lapangan Terbang di Pakistan.

Dengan sayunya, wanita itu berkata,

"Oh my god.. I cannot go to my own country?I just want to visit my own country..my own country.."

Allahuakbar..mendengar kata-kata ini membuatkan hatiku menjadi sebak. "I cannot go to my own country??"

Allahu..allahu..allahu.. Wajah-wajah saudara-maraku di Palestin terus melintasi benak dan fikiranku. Mungkin inilah perasaan dan persoalan yang sentiasa bermain dalam hati dan sanubari warga Palestin. Mereka berada di tanah air mereka sendiri, namun pemilikannya dirampas oleh kuasa-kuasa laknatullah si yahudi dan konco-konconya. Mungkin itu yang mereka perangi hari-hari dalam hidup mereka. Memperjuangkan tanah suci mereka daripada pengganas-pengganas yang kurang ajar. Menangisi dan meraung atas kecabulan terhadap hak mereka yang hakiki.

Ibaratnya kini kita sedang belajar di perantauan, dan memiliki sebuah banglow mewah ataupun sebuah teratak indah di Malaysia. Bila tiba hari raya atau bila tiba musim cuti sekolah, dengan penuh riang gembira kita berangan-angan ingin pulang ke rumah tercinta, berjumpa ibu ayah tersayang, melepaskan segala rindu yang bersarang di dada. Dengan yakinnya kita berfirasat, kita pasti akan kembali ke pangkuan keluarga!

Namun, pihak imigresen warga asing menahan kita. Lagaknya seperti negara ini milik mereka.Dan mereka menghalang perjalanan pulang ke sana. Segala dokumentasi dan barang milik kita dirampas, dan kita pula dikatakan penceroboh dan penjenayah negara itu! Segala impian tadi terhapus seperti kepulan asap di awangan. Terkubur sebagai mimpi ngeri. Sementara ditahan di lokap, terdengar pula desas-desus mengatakan segala makhluk bernyawa yang wujud di wilayah teratak kita tadi akan dibunuh! Dimusnahkan! Kita sedar ibu bapa dan adik-beradik tersayang kita ada di sana. Mereka juga termasuk dalam golongan yang akan ditamatkan hayatnya oleh puak-puak penyangak itu.

Apa agaknya perasaan kita ketika itu?
Masih mampukah kita bernafas memikirkan perihal diri kita?
Atau memikirkan kelazatan makanan yang belum kita rasai?
Atau memikirkan keempukan tilam yang belum kita tiduri?
Atau memikirkan kecantikan pakaian yang belum kita beli?
Atau memikirkan kemewahan harta yang belum kita nikmati?
Atau memikirkan kejayaan kerjaya yang belum kita kecapi? 
Sempatkah walau sesaat untuk kita fikirkan tentang semua itu?

Kalau jawapannya ya, maka kita adalah manusia yang paling ignorant di dunia ini! Sedang ahli keluarga kita terseksa disakiti, kita masih lagi bersorak gembira, tanda setuju dengan kezaliman yang dipamerkan.

Kalau jawapannya tidak, bersyukurlah kerana kita masih lagi dikurniakan sekurang-kurangnya sekelumit nikmat kemanusiaan dalam diri. Terasa sakitnya paha kanan, pabila paha kiri saudara kita disakiti.

Maka, di mana kita sekarang? Masih bersenang-lenang dalam tempurung kaca hidup kita? Masih berselimut erat - enggan keluar daripada keselesaan yang sebenarnya membunuh jiwa kita?

Sedarlah wahai diri. Sudah tiba masanya kita ambil cakna isu umat. Ia bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi isu aqidah.

   ****  

Itulah ibrah perasaan yang aku gambarkan ketika memperbaharui visa tempoh hari. Oh, visa juga perlu diperbaharui ya. Sama juga seperti niat kita pada setiap amalan kita, sentiasa perlu mentajdid niat sebelum meneruskan langkah yang seterusnya.

Bermacam-macam masalah dan kekangan yang perlu ku tempuhi hanya untuk mendapatkan pengesahan visa itu. Urusan visa segala bagai, semua ini memang menyusahkan. Kalau dahulu, sewaktu kekhalifahan Islam tertegak di muka bumi, kita tidak perlu bersusah-payah hendak membuat visa sebagai syarat kemasukan ke sesebuah negara. Selagi kita seorang muslim, kita bebas hendak menjelajah ke mana-mana wilayah taklukan Islam. Rentas sahaja lautan atau benua mana, jika anda seorang muslim, silalah jangan segan-silu untuk melalui wilayah yang mulianya kerana tertegak Islam di situ.

Namun, setelah Perang Dunia ke-2, pihak Barat mula naik. Mereka bangkit dari Zaman Kegelapan kepada zaman keemasan mereka. Di saat umat Islam terleka dengan kemenangan pembukaan Islam di seluruh dunia, pihak lawan mula menyusun strategi. Strategi yang cukup mantap! Sehingga penangannya diterima oleh generasi pada hari ini. Ia akan berterusan menyakiti dan membarahi pewaris-pewaris Islam pada hari ini, jika kita masih berada di takuk lama, masih di pemikiran sempit tidak mahu membangkitkan Islam. Kita tewas bukan kerana lemahnya material kita, tetapi kerana lemahnya semangat jihad kita, lemahnya keimanan sehingga tumpas dengan tawaran dunia yang kecil nilainya ini.

Di saat pihak barat menggantikan tampuk kepimpinan dunia, mereka mula membuat dasar pecah perintah (Divide and rule). Sempadan-sempadan antara negara mula tercipta. Semangat nasionalisme mula terbina. Dan kita sekarang, jika hendak menjejakkan kaki ke bumi yang pernah ditegakkan khalifah 'La ilaaha illallah' suatu ketika dahulu , kita terpaksa melalui beberapa siri tapisan yang dicipta oleh orang kafir itu sendiri.Kasihan betul kita. Menagih simpati di negara sendiri. 

Tepuk dada, tanya iman.
Kita di mana?
Dan di mana umat Islam di mata hati kita?