Monday, March 24, 2014

Catalyst-ku

Assalamualaikum..

Ke hadapan ukhtiku sayang…

Kaifa haluki wa imanuki? Apa khabarmu dan imanmu?
Diharapnya jawapan kepada soalan ini sentiasa baik dan berfasa pembaikan dari masa ke semasa. Meski jasad kita berada di dua benua berbeza, tetapi kuharapkan ruh kita sentiasa bersatu dalam tahajud dan doa kita hari-hari..

Allah adalah sebaik-baik Perancang. Dia telah menetapkan suatu perancangan yang sering kali berlaku di luar jangkaan kita, manusia yang dhaif dan sangat terbatas pemikiran dan pengetahuannya tentang masa hadapan. Apa yang pasti, perancanganNya adalah yang terbaik. Perancangan yang terbaik sehingga tidak terjangkau akal kita memikirkan hikmah yang terselit di sebalik pelbagai peristiwa yang mendatang. Kerana pena telah diangkat dan lembaran sudah pun kering, seperti yang telah tercatat di Luh Mahfuz sana, engkau ditakdirkanNya menyusul dahulu dalam perjuangan kita di medan sebenar dakwah ilallah ini.

Mungkinlah kerana palitan jahiliah dan kekurangan yang serba-serbi pada diriku, serta kekuatan yang mendasar pada dirimu, menjadi asbab takdirNya sebegini rupa. Kehadiranmu di sana menjadi harapan besar kami di sini. Pengharapan untuk mencari kunci kepada ‘permainan’ tarbiyah yang masih kabur coraknya, dan yang boleh jadi mengelirukan rentak permainannya. Pengharapan untuk menguatkan benteng pertahanan daripada asakan ikan-ikan Hari Sabat yang kian menyelerakan. Pengharapan untuk membuka sedikit ruang nafas dakwah setelah dada asyik disempitkan oleh konflik-konflik kefahaman yang mencapah, konflik-konflik yang tidak ketahuan punca sebenarnya, konflik-konflik yang menumbuhkan rasa takut dan risau aku di sini dan di kala ini..

Wahai ukhtiku sayang,

     Jika imanmu dan hamasahmu sedang melonjak, mungkinlah derapan dakwahmu bergema kuat hingga bunyinya tersebar ke benua ini, serta ekoran keimananmu bisa menggetarkan musuh di hadapan. Namun, jika imanmu dan hamasahmu sedang memudar, mungkinlah langkah dakwahmu juga kian melesu, syaitan-syaitan dan tenteranya sedang asyik bergayut di hatimu sambil membisikkan kalimah futur. Di saat ini, aku ingin membawa engkau menelusuri sebuah kisah,,, kisah seseorang yang aku sendiri cemburui sifat dan perwatakannya,,, kisah seseorang yang mungkin membuatkan kita malu dengan diri sendiri atas futur yang remeh ini,,, kisah seseorang yang diharapkan dapat menetaskan sebutir keimanan dan hamasah untuk kembali berbuat di jalan ini... Tidaklah banyak yang aku tahu tentangnya, tetapi beberapa episod kehidupannya begitu mengharukan jiwa ini...

Pabila diperdengarkan tentang kisahnya, timbul perasaan cemburu aku terhadapnya. Masakan tidak, keakrabannya dan kesetiaannya terhadap kekasih Allah, Rasulullah s.a.w menjadikan beliau antara watak yang teristimewa sepanjang hayat Rasulullah sendiri.

Sebelum turunnya perintah berhijrah, beliau telah pun menyediakan unta dan sedikit harta untuk hijrah tersebut. Betapa sensitif dan pekanya beliau terhadap keperluan dakwah. Hanya waqi’e (suasana/keadaan/environment) yang terpampang, beliau sudah arif menafsirkan keperluan dakwah pada masa yang mendatang. Seorang doktor pun memerlukan informasi yang mencukupi sebelum mendiagnos sesuatu penyakit. Boleh jadi history taking menjadi panjang lebar dan berlanjutan beberapa hari untuk memastikan signs and symptoms menepati diagnosis tersebut. Tetapi, bagaimana seorang manusia biasa mampu menafsir dengan tepat jangkaan dalam jalan dakwah ini? Mungkinlah kerana akrabnya beliau dengan Rasulullah, akrabnya beliau terhadap kehidupan dakwah itu sendiri menjadikan diagnosis dakwah ini begitu mudah. Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada hambaNya yang suci, tulus, mulus dan ikhlas menyembahNya.

          Jika dibandingkan dengan diri kita, berapa jauhkah jaraknya antara kehidupan Sang Da’ie Rabbani itu dengan rutin harian kita? Sudahkah cukup kesetiaan kita kepada jalan dakwah ilallah ini? Mungkin kerana hati belum cukup sempurna mencintai jalan ini, kesetiaan terhadapNya masih diragui ketulenannya, kerana itu tafsiran tepat pada permasalahan dakwah masih terhijab pada diri ini. Meskipun sudah melimpah klu yang dicampakkan olehNya terhadap umat zaman ini, jalan penyelesaiannya masih menemui kebuntuan, pencerahan daripadaNya masih terbantut. Ini semua akibat daripada dosa-dosa lampau kita, akibat daripada jahiliah-jahiliah yang sukar dilepaskan daripada diri.

         Apa yang terjadi seterusnya?

          Ya, setelah turunnya perintah hijrah daripada Allah, beliaulah sahabat setia yang menemani penghijrahan Rasulullah s.a.w. Beliaulah insan yang menemani perjalanan yang cukup mencemaskan dan mendebarkan ini. Tanpa rasa takut dan gentar. Tanpa menoleh ke belakang dan menuding jari ke arah orang lain sebagai alasan seorang yang pengecut. Sehingga peristiwa ini dan perbualan mereka dicatatkan di dalam Surah At-Taubah, 9: 40;

“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) ketika dia diusir oleh orang-orang kafir (dari kampung halamannya), dalam keadaan berdua orang sahaja di dalam suatu gua, di kala itu dia (Muhammad) berkata kepada sahabat karibnya : Jangan engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhan bersama kita. Tuhan menurunkan ketenangan kepadanya dan dikuatkannya dengan tentera yang tidak kamu lihat. Dan Tuhan menjadikan perkataan orang kafir itu paling rendah dan perkataan Tuhan itu yang amat tinggi. Dan Tuhan Maha Kuasa dan Bijaksana.”

          Alangkah bahagianya hidup beliau kerana mendapat jawapan langsung daripada Allah. Dekatnya rasa dengan Allah itu lebih dirasai dan mampu dihayati sepenuh jiwa.

Ma’iyatullah.

Itulah rahsianya.

Ma’iyatullah (Kebersamaan Allah) yang menemani perjalanan mereka. Itu yang menjadikan perjalanan mereka berharga. Bukan sekadar Ma’iyah Al-Ammah (Kebersamaan Allah yang umum) yang mereka perolehi, malah Ma’iyah Al-Khasah (Kebersamaan Allah yang khusus) sudah membuktikan kebenaran dan kemenangan berpihak kepada mereka. Di saat hati gentar dengan kekuatan musuh, keadaan pula meruncing seperti telur di hujung tanduk, ma’iyatullah yang menenangkan mereka. Bukankah sudah cukup Allah sebagai peneman hidup kita? Bukanlah peneman di siang hari sahaja, atau peneman di malam hari cuma. Bahkan bukan sekadar peneman di kala lapang atau sempit, susah atau senang, suka atau berduka. Tetapi, pabila janji Allah dikatakan untuk bersama hambaNya, dikotakannya menjadi teman sejati kita pada setiap ketika! Allahuakbar…

Wahai ukhtiku sayang,

          Seperkara lagi yang ingin aku kongsikan tentangnya. Sesuatu yang bisa membuat kita terdiam kerana kekaguman yang melampau terhadap keimanannya. Suatu hari, di saat Rasulullah s.a.w bersama para sahabatnya, baginda berkata,

          “Timbangan yang paling berat adalah timbangan Umar Al-Khattab…”

Para sahabat terpinga-pinga dengan kenyataan baginda. Masing-masing bertanyakan tentang status si sahabat karib baginda. Sedangkan, beliaulah yang sentiasa fastabiq, berlumba-lumba dalam mengerjakan apa-apa kebaikan, beliaulah yang lebih banyak meluangkan masa bersama baginda, beliaulah pemula kepada segala kebaikan setelah diberitakan oleh Rasulullah. Jadi, mana mungkin Saidina Umar yang meraih takhta ini…
Maka, jawab baginda s.a.w;

          “For the likes of him, there is no scale…”

“Untuk orang yang seperti beliau, tiada penimbang yang bisa menimbang amalannya…”

Allahuakbar…

Tahukah engkau apakah maksudnya jawapan baginda ini?
Ini bermaksud amalan beliau terlalu banyak dan berat sehingga tiada penimbang yang mampu menimbang banyaknya amalan beliau! Subhanallah…

Inilah susuk tubuh seorang tokoh yang wajar disegani oleh semua kelompok manusia, Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Bukan ‘kepimpinan’ Bush, Barrack Obama etc yang menjadi sanjungan. Atau ‘kredibiliti’ Lee Dong Wook, 2PM, SNSD, CN Blue etc dalam dunia kesenian yang menjadi kegilaan masyarakat. Atau ‘kehebatan’ Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Maya Karin etc sebagai anak seni yang menjadi ikutan.

Sebaliknya susuk peribadi seperti Saidina Abu Bakar ini yang patut dikuasai sifatnya. Seorang lelaki yang mulia, yang mendapat jolokan ‘As-Siddiq’ (yang membenarkan) daripada Rasulullah sendiri kerana beliaulah satu-satunya insan yang membenarkan segala-gala yang datang daripada baginda s.a.w, di saat masyarakat menafikan peristiwa isra’ mi’raj yang dianggap tidak masuk akal.

Beliaulah lelaki pertama yang memeluk Islam setelah keislaman Siti Khadijah.

Beliaulah antara saudagar kaya yang menyumbangkan harta dan sepenuh jiwa fi sabilillah (di jalan Allah).

Beliaulah antara yang membarisi saf hadapan dalam setiap siri ghazwah (perang) memerangi kebatilan.

Beliaulah antara tulang belakang Islam yang menyokong permulaan dakwah Rasulullah, hingga kewafatan baginda.

Beliaulah sahabat yang jika ditimbangkan keimanan seisi Bumi sekalipun, timbangan masih memberat kepada keimanan Saidina Abu Bakar.

Beliaulah antara 10 sahabat yang dijanjikan syurgaNya.

Beliaulah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq…

Beliaulah… Beliaulah… Beliaulah…

Beliaulah Saidina Abu Bakar As-Siddiq…


          Seseorang yang menjadi pemangkin semangatku di jalan ini. Begitu teruja aku mendengar kisahnya, dan jiwa tidak pernah kering setiap kali diperdengarkan tentangnya. Aku juga ingin menjadi sepertinya. Seorang yang sangat dekat dengan baginda. Kerana dekatnya juga hubungannya dengan Sang Pencipta ini menjadikan beliau turut disayangi dan disanjungi oleh masyarakat di setiap zaman. Itu juga menjadi cita-cita terbesarku.
Hidup untuk Allah, benar-benar menghidupkan jiwa sendiri dan jiwa umat dunia. Serta mengakhiri kehidupan dengan kematian yang luar biasa, iaitu kematian yang menghidupkan, dengan bergelar sebagai seorang syuhada’.

“Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam,” (Al-An’am, 6: 162)


Maka ukhtiku sayang,

Selamat meneruskan perjuangan di sana!

Nantikan kepulanganku dan kami di sini untuk turut bersama berair mata darah berjuang di jalan ini. Enam bulan bukanlah tempoh yang panjang atau lama bagi seorang da’ie. Kerana masih banyak lompong yang perlu diperbaiki pada diri ini, sebelum layak berbaris bersama pejuang kental sepertimu! 

     

No comments:

Post a Comment