Tuesday, January 28, 2014

Kun Fa Ya Kun

Perasaanku bercampur-baur. Adakalanya takut, adakalanya seram, adakalanya risau. Seorang diri menantikan ketibaan sebuah bas untuk menjemputku menyeru ke sebuah kawasan. Khabar yang baru diperdengarkan tadi juga berterusan menghantui benak fikiran dan perasaanku. Semua perasaan ini bersatu dan membuatkan jiwaku tidak tenteram. Tiada walau sesaat pun ketenangan menyinggah ke hati ini. Masih terngiang-ngiang butiran kata-katanya dan setiap kali memikirkannya membuatkan dahiku berkerut ketat. Adakalanya sebak. Mungkin belum terzahir lagi air mataku, tetapi di dalam hati sudah terobek benar!   

          Sesampainya bas yang dinanti, terpancar sekelumit kelegaan dalam riak wajahku. Tersenyum seorang diri walau tiada siapa yang melambai atau meraikan permusafiranku. Sekurang-kurangnya, debaran seorang diri di stesen bas termansuh perlahan-lahan. Aku terus berdiri dari dudukku dan menaiki bas tersebut. Kemudian, aku mengambil posisi yang selesa di tempatku. Bas pun bertolak pergi. Aku merenung ke luar jendela bas sambil memikirkan apa yang dimuntahkkan oleh bibir dan hatinya siang tadi.

   "Diagnosis doktor di Malaysia adalah endometriosis. 3 doktor pakar ana rujuk dan kesemuanya membuahkan hasil diagnosis yang sama iaitu endometriosis..."

Dahiku berkerut di saat perkhabaran ini sampai ke telingaku. Terkejut! Tidak pernah kusangka, insan yang tertampil ceria setiap kali bertemunya, rupa-rupanya sedang berperang dengan sesuatu yang besar dalam hidupnya. Kelihatan sihat luarannya, tetapi jasadi itu sendiri diuji dengan hebatnya. Pada masa yang sama, otakku ligat bekerja mengimbas kembali aetiology (punca penyakit), pathogenesis (proses terjadinya penyakit tersebut) dan complications bagi endometriosis. Memori lama tentang ilmu Pathology digali kembali untuk memahami status dan risiko penyakit ini terhadap pesakitnya. Jika diikutkan, sudah berkarat ilmu itu akibat lama dibiarkan tidak berasah. Ilmu Pharmacology yang lebih menguasai fikiranku. 

   "Endometriosis?" tanyaku inginkan kepastian yang sebenarnya sudah terbukti jelas di depan mata jawapannya.

   "Ya, endometriosis, the presence of endometrial lining outside uterus." terangnya dengan yakin untuk membenarkan apa yang kudengar tadi.

Satu hakikat yang aku tersedar bahawa ia adalah sesuatu yang tidak normal. Keberadaan tisu endometrium di luar uterus adalah sesuatu yang tidak normal, kerana hakikatnya keberadaan tisu endometrium yang hakiki adalah di uterus sahaja, bukan di lokasi selainnya. Aku sedar bahawa endometriosis adalah satu kondisi yang kurang digemari oleh pemiliknya kerana mempunyai prognosis (jangkaan status penyakit, sama ada baik atau buruk) yang kurang baik. Jika berlaku metastasis (merebak ke organ atau lokasi lain), pasti membarah dan memberi kesan yang lebih buruk kepada organ lain dan seterusnya mengganggu sistem di seluruh tubuh.

Kemudian, sambungnya lagi dengan nada yang lebih perlahan, "Dan doktor mendiagnos ana bahawa ana tidak boleh mengandung..."

     "...ANA TIDAK BOLEH MENGANDUNG..."

Allahuuu..

Kali ini jiwaku benar-benar tersentak. Terkejut. Terkesima.
Mataku tepat memandang ke wajahnya. Kaku lidah ini tanpa bicara. Aku terdiam lama. Lama daripada biasa. Sehinggalah suaranya yang muncul untuk memecahkan kesunyian bicara antara kami.

   "Sahabat ana yang dengar berita ini pun terdiam juga. Sama responnya seperti enti. Tak mengapalah.. Ambillah masa untuk menghadam berita ini..." katanya sambil menghirup kopi panas di hadapannya. Tangannya bermain-main dengan buih kopi itu. Sementara aku mengalihkan pandangan ke arah lain untuk menangkap ruang pandangan yang lebih jauh. Jauh renunganku sambil mendalami perasaan insan kesayanganku yang terpacak di hadapanku.

Ya, aku sedang berfikir dan menghadam berita itu. Sulit benar perasaan ini. Seorang yang sangat ekspresif seperti diriku, tetapi perlu mengawal perasaan dan bicaraku sebaik mungkin. Tersalah langkah dalam melahirkan riak wajah, pastinya mengundang pertemuan yang sia-sia. Liar fikiranku mencari buah kata yang sesuai untuk dilontarkan kepadanya. Tetapi usahaku gagal. Perasaan sebakku lebih mendominasi jiwaku ketika itu.

Refleksi diri menghujani jiwaku.
Mana tidaknya, di saat insan lain sibuk dengan pelbagai konflik diri:

  "Aku ni tak cantik macam dia lah, mesti tiada siapa yang sudi mengahwini aku..."

  "Aku mahu kahwin, tapi tiada calon yang sesuailah..."

  "Ada calon, tapi dia ni bukan ikhwah lah. Tak mahulah..."

  "Dah berkenan kat dia, tapi dia ni ikhwah 'sekolah' lain. Nanti susah pula nak hidup dan memahami kerana berbeza fikrah..."

  "Aduh, banyak betul calon nak pilih ni. Rambang mata ana..."

  "Calon dah ada dah. Tapi parents tak kasi kahwin waktu belajar. Nanti susah bila sudah beranak bagai..."

  "Susah lah nanti kalau suami dan isteri doktor. Siapa nak jaga anak nanti kalau dua-dua busy? Kalau si isteri doktor, si suami dentist pun ok juga..."

Dan bermacam-macam lagi situasi dan dialog yang didendangkan ke telingaku.
Maklumlah, remaja yang usianya sekitar 20-an, pastinya isu baitulmuslim (rumah tangga) ini menjadi topik hangat bagi kelompok manusia ini.

Dan konflik-konflik yang wujud di sekitarku inilah yang mendesak jantungku menjadi semakin sesak. Di saat manusia lain pening dan serabut 'memilih calon' mereka, ukhtiku ini belum tentu pun berjaya ke peringkat 'memilih calon' ini.

   "Ana pun keliru. Adakah wajar ana beritahu kepada calon zauj (suami) tentang kondisi ana ini. Wajarkah enti?" tanyanya padaku.

   "Hurm..aseef..ana tak tahu sangat hukum dan fiqh dalam situasi ini. Tapi, kalau ikut rasional, memang wajarlah beritahu. Sebab kita sudah pun mengetahui penyakit ini sebelum akad nikah berlangsung," jawabku sejujurnya dengan bekalan ilmu fiqh yang sangat minima. Kesal juga atas batasan ilmu di dada, tidak mampu meleraikan persoalan yang membungkam di jiwanya.

   "Ya lah. Kalau ikut rasional dan logik akal, memang perlu beritahulah kan. Pada asalnya memang rancangnya untuk disatukan dengan seorang calon zauj itu. Pilihan keluarga. Memang bersetujulah si lelaki itu untuk dijodohkan dengan ana," katanya. Aku mengerti, keelokan pada paras rupanya tidak memungkinkan mana-mana jejaka pun menolak pilihan keluarga ini.

   "Tetapi, setelah mengetahui kondisi dan situasi ana, faham-fahamlah, ditariknya kembalilah perancangan asal tadi..." ujarnya. Dia terdiam sejenak.

   "Tidaklah dia menolak secara terang-terangan dan jelas. Tetapi ana fahamlah maksud jawapannya..." tambahnya lagi.

Allahu..

Perit benar jiwa ini menanggung khabar ini. Berat mata memandang, memang aku tahu berat lagilah bahu yang memikulnya. Aku yang hanya mendengar ini pun sudah berat dan sakit rasanya. Apatah lagi dirinya, si empunya bebanan. Meskipun situasi ini teremban atas dirinya, ingin sekali aku katakan padanya bahawa aku juga turut merasai beratnya perasaan itu. Kerana jiwanya juga adalah jiwaku, sakitnya dia maka sakit juga aku. Jika boleh dipindahkan bebanan perasaan itu kepadaku, aku rela jiwaku terbeban atas perasaan yang sama. Terasa benar kuatnya dirinya atas ujian yang ditimpa ke atasnya. Aku masih lagi mencari kata, sekurang-kurangnya sesuatu yang dapat menyenangkannya. Namun, gagal. Ku cuba lagi. Tetap gagal! Hanya satu jawapan yang aku temui... iaitu fafirru ilallah.. Kembalilah kepada Allah...

   "Allah tahu enti kuat..." sayu suaraku sambil menyelami perasaannya.

   "Ya lah.. Setiap orang pasti ada ujian yang spesifik untuk dirinya. Enti pernah dengar kan kata-kata ini, 'Ujian yang hebat adalah untuk tenteraNya yang hebat'..Allah tahu enti kuatlah, maka Dia berikan enti ujian sebegini..." kataku lembut sambil cuba menahan air mataku.

   "Kalau ana berada di posisi enti, pertama sekali ana rasa, sangat penting untuk kita bersangka baik dengan Allah. Seorang hamba itu tidak merasakan bahawa Allah sedang menganiayai dirinya di saat diuji dengan sesuatu yang berat. Sebaliknya, seorang hamba itu sewajarnya merasakan bahawa apa yang dihadirkan oleh Allah untuk dirinya adalah sebuah kebaikan. Ujian yang dihadirkan sentiasa Dia sertakan dengan rahmat dan kasih sayangNya..."

   "Setiap kali sebuah ujian dibentangkan di hadapan hambaNya, tiada apa yang ingin Dia harapkan, melainkan untuk kita ini kembali kepadaNya, fafirru ilallah. Kembali bersujud kepadaNya setelah sekian lama jasad ini berjalan angkuh di atas muka BumiNya tanpa menjalankan taklifah yang diamanatkan kepada kita. Rasailah ukhti, bahawa setiap ujian itu adalah panggilan daripadaNya. Panggilan mesra dan kasih seorang tuan terhadap hambaNya..."

Pandangannya masih lagi tertumpu kepada cangkir kopi itu tadi.

   "Enti ingat tak peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria?" soalku untuk membawanya menyelami seerah nubuwwah yang memberi erti besar dan signifikan yang luar biasa bagi setiap makhluk yang bernama manusia. Aku mahu dia rasakan bahawa dia tidak keseorangan dalam menanggung derita ini, sebaliknya telah pun diterokai penderitaan ini sejak zaman para anbiya'.

   "Oh, kisah yang mana satu?" soalnya kembali sambil mengangkat kepala daripada tunduknya.

   "Kisah tentang isteri Nabi Ibrahim dan isteri Nabi Zakaria?" jawabku. Firman Allah;

          (Allah berfirman), 'Wahai Zakaria! Kami berikan khabar gembira kepadamu dengan seorang anak lelaki namanya Yahya, yang Kami belum pernah memberikan nama seperti itu sebelumnya.

          Dia (Zakaria) berkata, 'Ya tuhanku, bagaimana aku akan mempunyai anak, padahal isteriku seorang yang mandul, dan aku sendiri sesungguhnya sudah mencapai usia yang sangat tua?'

          (Allah) berfirman, 'Demikianlah,' Tuhanmu berfirman, 'Hal itu mudah bagiKu, sungguh engkau telah Aku ciptakan sebelum itu, padahal (pada waktu itu) engkau belum berwujud sama sekali.'

[Surah Maryam, 19:7-9]


     "Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria sangat mengharapkan rantaian zuriat terlahir daripada benih mereka. Tetapi, kekhuatiran menyelubungi mereka kerana mereka mengerti sunatullah manusia, bahawa usia yang semakin lanjut tidak memungkinkan zuriat itu mampu dihasilkan. Namun, apa kata Allah? Kata Allah, sesuatu itu pasti berlaku atas izinNya. Kekuasaan Allah pastinya lebih kuat daripada rasional manusia. Kekuasaan Allah mampu menolak segala logik akal manusia. Tiada apa yang mustahil dengan kuasa Allah. Pada kudrat manusia memang tidak mampu berbuat apa-apa, tetapi atas kudrat dan iradat Allah memungkinkan segala-galanya!"

     "Kerana itu wahai ukhtiku sayang, janganlah berputus harap daripadaNya. Kerana hambaNya yang berputus asa dengan rahmatNya adalah hambaNya yang rugi. Teruskan berdoa dan meminta sungguh-sungguh denganNya..."

     "Mungkin ini adalah saat Allah benar-benar ingin menguji keikhlasanmu menyembahNya, Dia ingin menguji keyakinanmu terhadapNya, Dia ingin menguji kebergantunganmu kepadaNya..." sebak benar aku mendengar butir-butir dari bibirku yang diilhamkanNya ini. Terasa seperti Dia ingin menyampaikan kata-kataNya ini kepadaku.

     "Ukhti, bersabarlah dengan ujian ini. Mungkin kita terhijab daripada melihat hikmah peristiwa ini sekarang. Akan tetapi, berkat kesabaran enti mendepani permasalahan ini, mungkin Dia ingin menyediakan seorang teman hidup yang terbaik buat enti.

Itulah si lelaki yang turut tinggi keimanannya dan keyakinannya terhadap janji-janji Allah, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan meyakini bahawa kuasa Allah mengatasi teori manusia.

Itulah si lelaki yang memuncak kebergantungannya kepada Ilahi, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan meyakini bahawa rezeki hidup (cahaya mata) yang diperolehi berkadar langsung dengan kebergantungan kepadaNya.

Itulah si lelaki yang agung kesabarannya, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan bersabar melayari bahtera kehidupan bersama enti dalam menjalankan tugas sebagai abid dan khalifah.

Mungkin ini ciri-ciri zauj yang Dia simpankan untuk enti. Jika tidak diizinkan untuk dipertemukan di dunia ini, mungkinlah ditangguhkan detik kebahagiaan ini di syurgaNya nanti..." jelasku dengan panjang lebar. Aku harapkan sedikit ketenangan menusuk ke dalam jiwanya dengan bawaan kisah para nabi yang jauh lebih berat ujiannya dibandingkan dengan manusia biasa seperti kita.

     "Allah tahu enti kuat.. Allah tahu enti kuat kan.. Enti kuat kan.." tidak jemu kuulang mantera itu untuk memberikan kekuatan kepadanya.

     "Sudah sudah..tidak perlu katakannya berulang kali lagi..." tegahnya. Aku tahu dia khuatiri air mata jernihnya akan terembes di hadapanku jika aku mengulangi mantera itu lagi. Tujuanku tidak lain hanyalah untuk mengukuhkan kekuatan dalamannya, selain daripada bermaksud untuk mendoakan kesabaran dan kesejahteraan agar tersimbah ke dalam hidupnya.

     "Seperkara lagi enti. Untuk pengetahuan enti, ada sahaja seorang ukhti ini tidak mahu berkahwin kerana takut dan risau sekiranya perkahwinan itu melambatkan dakwah dan tarbiyahnya. Jadi, berbalik kepada tujuan kita melangsungkan perkahwinan. Adakah sekadar memenuhi naluri dan fitrah kita yang inginkan pasangan hidup, atau untuk tujuan yang lebih besar lagi? In syaa allah enti, sama-samalah kita berdoa dengan lebih keras lagi. Jika apa yang ditakdirkan untuk kita ini akan mengakrabkan lagi hubungan kita denganNya, marilah kita cuba menerima segala qadarNya dengan selapang-lapang dada dan hati. Semoga kita juga menjadi antara penyumbang tegar Ad-DeenNya dan semoga kita juga terpilih sebagai tenteraNya yang membersihkan Bumi ini daripada taghut dan kejahilan..."

     Itulah bayangan peristiwa yang menemani tidurku malam itu. Tiada tumpuan lain yang lebih menarik fikiran dan hati ini daripada berterusan memikirkan tentangnya. Kalaulah dia tahu betapa sayangnya aku padanya. Meskipun jauh di mata, tetapi dia sentiasa dekat di hati. Kuatkanlah semangat dan kukuhkanlah ikatan dengan Yang Maha Esa. Yakinlah wahai ukhtiku sayang, Dia ada bersamamu selagimana engkau sanggup bersamaNya...

Uhibbuki fillah..

Semoga pertemuan dan perpisahan kita akan menunjangkan keimanan yang mendasar.

1 comment:

  1. assalamualaikum ya ukhti,
    lama bebenar tak dengar khabar enti,
    rindu untuk berjumpa satu masa nanti, inshaAllah
    baru semalam tadabbur surah maryam (kisah nabi zakaria) dalam bulatan gembira...
    sangat gembira dan terkesan sgn kata2 nasihat yg enti berikan kepada sahabat enti,
    semoga ujian tersebut menambah keimanan sahabat enti.. inshaAllah

    :)

    ReplyDelete