Monday, November 26, 2018

Surat terbuka buat Adik

"Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah, walaupun terhadap dirimu sendiri atau terhadap ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia (yang terdakwa) kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatan (kebaikannya). Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutarbalikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka ketahuilah Allah Maha Teliti terhadap segala apa yang kamu kerjakan." (Surah An-Nisa', 4: 135)

Allahuakbar...

Ayat ini benar-benar menggugah jiwaku.

Saat kalimah ini terpampang di depan mata...

"JADILAH KAMU PENEGAK KEADILAN, MENJADI SAKSI KERANA ALLAH, WALAUPUN TERHADAP DIRIMU SENDIRI ATAU TERHADAP IBU BAPA DAN KAUM KERABATMU...."

Air mata jernih terus mengalir deras kerana memahami hakikat tanggungjawab yang jelas terbeban kemas di atas pundakku.

..........................................................................................................

To my dearest Adik yang dikasihi fillah,

Saat aku nukilkan warkah maya ini, mungkin engkau sedang hanyut dibuai mimpi. Terhampar selesa tubuhmu di atas kamar pembaringan. Barangkali kegembiraanmu di siang hari begitu mengasyikkan sehingga terbawa ke alam mimpi.

Melihat senyuman yang terukir di bibirmu,
Melihat kegembiraan yang terpancar cerlang di wajahmu,
Pastinya satu anugerah yang terindah untuk aku raikan bersama.

Namun,
Adakalanya senyuman misteri itu adalah kedukaan buatku.
Adakalanya kegembiraan pelik itu adalah kesakitan buatku.

Tahukah engkau mengapa?

Kerana
Pabila senyuman misteri itu bukan kehendak Tuhan.
Pabila kegembiraan pelik itu terdiri bukan atas redha Tuhan.


Adikku yang disayangi fillah,

Tahukah engkau betapa kasih dan sayangnya aku terhadapmu?
Tahukah engkau berapa ramai insan bukan ajnabi yang mengasihimu?
Walau yang terpancar adalah keriuhan berbanding keindahan,
Walau yang terzahir adalah kekerasan berbanding kelembutan,
Walau yang terserlah adalah pengabaian berbanding belaian.

Hakikatnya,
Ia adalah anggapan dusta.
Ia hanyalah penafsiran dari emosi tidak matangmu.
Setiap yang bernama keluargamu, semuanya menaruhkan kasih dan sayang yang tidak pernah berbelah bahagi. Walau berjuta parut luka di hati, air yang dicincang tidak akan pernah putus.
Kerisauan itu tanda sayang.
Kemarahan berkala itu tanda kasih.


Adikku yang disayangi fillah,

Saat engkau mengejar manisnya cinta manusia,
Engkau telah terlupa bahawa tiada cinta yang mampu menandingi kemanisan cinta Tuhan kepada hambaNya.
Saat engkau menagih cinta Sang Lelaki,
Engkau telah terlupa bahawa tiada cinta yang paling mulia nan agung melainkan keikhlasan cinta seorang hamba kepada Tuhannya.
Saat engkau menanti cinta Sang Lelaki,
Engkau telah terlupa bahawa Dia sentiasa setia menanti taruhan jiwamu untukNya.
Saat engkau sanggup berkorban segalanya kerana Sang Lelaki,
Engkau telah terlupa bahawa Dia tidak pernah lokek mencurahkan nikmat kepadamu semata-mata keselesaanmu di Bumi.


Adikku yang disayangi fillah,

Aku amat rindukan peribadimu yang dahulu.
Kelembutan jiwamu bisa menyentuh malah melembutkan kekerasan jiwa di sekelilingmu.
Keprihatinanmu bisa mencairkan keangkuhan jiwa di sekitarmu,
Ketaatanmu bisa menundukkan keegoan jiwa berdekatanmu,
Kebaikanmu bisa mewujudkan perdamaian masyarakat setempat.


Adikku yang dikasihi fillah,

Sedarlah bahawa kemungkaran semakin giat di luar sana.
Bisikan kepada kemaksiatan tidak pernah berhenti dialunkan oleh musuh Tuhan.
Detik aku menyaksikan kemungkaran di setiap inci Bumi, ia adalah sesuatu yang menyakitkan!
Lebih sakit daripada kesengsaraan luka dan torehan pada jasad.
Bertambah sesak apabila kemungkaran itu berlaku terlalu dekat denganku!
Terlalu sesak sehingga air mata kering untuk ditangisi.

Maka,
Peliharalah jiwamu daripada diterobos nafsu syahwat yang tidak diredhaiNya.
Jika benar, ia tetap benar. Jika salah, ia tetap salah, dan perlu dikoreksi.
Janganlah obsesmu pada Si bukan mahram itu menjadikan engkau buta pada perkiraan dan undang-undang Tuhan. Benar tindakan dan hujahnya sekiranya selari dengan Al-Haq. Salah tindakan dan bicaranya sekiranya bercanggah dengan perundanganNya.
Sesungguhnya, ikatan perkahwinan adalah satu ibadah jika disulam dengan sunnah; mengikut syariatNya.
Jadikanlah penyatuan dua hati ini sebagai satu amal yang suci sedari awal ikatan lagi.
Jangan keruhkan ia dengan kemaksiatan di tengah jalan.


Adikku yang disayangi fillah,

Kerisauanku terhadap masa depanmu tidak pernah terhenti.
Kerana masa depanmu yang hakiki adalah antara syurga atau neraka.
Selagi aku masih hidup, tanggungjawab nan besar ini tergalas juga di bahuku.
Sebahagian besar pastinya terbeban atas pundak ibu bapa kita.
Jika benar sayangmu pada ibu bapa dan keluarga, peliharalah hatimu daripada tercemar kemaksiatan hati. Kelak, segala dosamu masih ditanggung oleh mereka.
Biarlah lahirnya kita di dunia, memudahkan lorong ibu bapa kita ke syurga, bukannya memudahkan ke neraka.
Biar sulit di dunia, asalkan senang di akhirat.


Adikku yang disayangi fillah,

Teguran ini bukanlah bermaksud aku cukup sempurna.
Namun, kerana terlalu banyak palitan dosa yang mendorong aku menzahirkannya.
Diriku yang penuh cacat cela pada budi, sama-sama sedang memperbaiki diri.
Kerinduanku pada syurga membuatkan fikiranku terganggu tanpa berpesan-pesan kepada kebenaran.

Semoga kita sama-sama dikumpulkan di Syurga Firdausi.

i_in_z
0040
26112018








No comments:

Post a Comment