Terpacul soalan yang keluar dari bibir penemu dugaku.. Wajah Mat Salleh yang bermata biru, dengan accent Irish yang begitu tebal, cuba aku teliti agar tidak tersalah langkah dalam berbicara.. Aku hanya tersenyum dan terdiam seketika. Berdebar-debar hatiku untuk mengeluarkan fakta-fakta dan jawapan yang sudah terangka dalam kotak fikiranku. Menurut nasihat senior2 yang lebih arif dan berpengalaman, malah sudah berjaya mendapatkan tiket kelayakan ke universiti terkemuka di Ireland, soalan ini adalah salah satu soalan yang paling digemari oleh penemu duga. (Atau mungkin soalan mandatori bagi penuntut dalam bidang perubatan..) Wahhh,, soalan bocor! Yaa,, soalan bocor.. Aku begitu yakin dan bersedia untuk menghuraikan hujah-hujah yang telah aku susun rapi sejak beberapa hari sebelumnya. Aku menghidangkan penemu duga itu dengan isi pertamaku yang agak lancar. Kata demi kata disajikan, segalanya berjalan dengan baik dan sempurna. Namun begitu, secara tiba-tiba lidahku menjadi kelu dan kelat. Tiba-tiba jiwaku terasakan begitu sebak dan pilu. Aku tidak mampu meneruskan kata dengan isi keduaku. Aku cuba menahan sebak. Namun, aku gagal! Tanpa disedari juga, air mata jernih mengalir di pipiku tanpa dipaksa. "Ahh,, damn!" kata monolog dalamanku. "Stop..stop..stop! Apsal tibe2 emo ni??! Hey dude,, stop crying laa.." Akal dan hatiku berlumba-lumba menenangkan diriku yang diselubungi emosi yang tidak terkawal. Penemu duga di hadapanku agak tergamam. Dia menawarkan sedikit ruang dan masa padaku untuk menenangkan semula emosiku yang sedikit terganggu. Aku menolak tawaran itu, dan meneruskan hujah-hujah seterusnya.
Beberapa hari sebelum temu duga (Fasa persiapan)
Arggghhhh... Setiap kali aku ingin menyatakan isi keduaku, aku gagal meneruskan bicara. Sebaliknya, air mata pula yang tidak henti-henti mengalir.. Apakah?? Kuatkan semangat, kuatkan diri! Beberapa kali aku cuba menjawab soalan itu, dan setiap kali itu juga aku terkandas dengan emosiku. Mengapa?
"Ah, janganlah berdrama wahai diri. Terlalu banyak lakonan yang telah engkau pentaskan. Tidak perlulah engkau tonjolkan bakat semula jadimu itu di depan penemu duga nanti atau di hadapan khalayak."
"Aku tidak berdrama laa! Memang ini fitrah diriku! Emosiku mudah tersentuh.. Secara luarannya terpancar kekasaran dan kekerasan, tetapi sebenarnya terselindung sekeping hati yang tersangat lembut dan ampuh.."
"Kuatkanlah dirimu. Jangan terlalu berlebihan dalam beremosi. Ingat pesan abah, kita perlu jaga dan memantapkan kesemua IQ (Intellectual Quotient), EQ (Emotional Quotient) dan SQ (Spiritual Quotient). Ibu bapa kau juga mendapati tahap EQ mu pada tahap yang tidak selamat, dan perlu diperbaiki selari dengan kelanjutan usiamu. Lagipun, kau bukanlah seorang yang baik sangat. Adakah kau begitu patuh pada setiap arahan ibu bapamu? Adakah sudah cukup baktimu pada kedua ibu bapamu? Kalau kesemua jawapannya tidak, mengapa engkau perlu berdrama, menonjolkan seolah-olah engkau begitu mulia, seorang anak yang taat, dan segala-gala yang baik adalah ENGKAU.."
"Memang aku tidak cukup baik. Memang belum cukup budiku pada kedua ibu bapaku. Memang aku selalu bersikap kasar dengan kedua ibu bapaku. Merasakan diriku sahaja berpihak kepada kebenaran. Merasakan ibu bapa ku sahaja pihak yang tidak adil, tidak memahami kehendak seorang anak yang bernama AKU, yang punya kerenah sendiri. Semakin mencecah usia dua puluhan, semakin kerap aku melawan dan memberontak untuk kepuasan diriku sendiri. Memang semua tindakan ibu bapaku, aku rasakan salah dan serba-serbi tidak kena. Tetapi, perasaan dan peristiwa ini jugalah yang menimbulkan kesedihan dan kepiluan pada diriku.."
"Aku tidak mengerti. Itu cerita lain. Apa kaitannya, isi kedua soalan penemu duga itu, dengan cerita yang engkau sampaikan. Cukuplah, jangan berdrama lagi. Aku muak dengan janji-janjimu pada diri. Katamu, HANYA MENURUT KATA-KATA KEDUA IBU BAPA, TIDAK MELAWAN, DAN SENTIASA AKUR DENGAN PERINTAH MEREKA. Adakah itu yang engkau laksanakan? Adakah engkau kotakan janji-janji manismu pada diri?"
"Ya, aku mengaku salahku. Inilah cerita dan kisah di sebalik air mata yang mengalir di depan penemu duga. Air mata ini juga menjadi saksi kekesalan yang aku rasai. Engkau semua tidak mengerti isi hatiku, dan tidak mengetahui sejarah hidupku yang menyebabkan peribadiku terserlah seperti hari ini. Aku tidak tidak dapat meneruskan isi keduaku, kerana ia berkaitan dengan insan teristimewa dalam hidupku yang bernama IBU.."
"Teruskan.."
"Why do you want to be a doctor? Salah satu sebabnya adalah kerana ibuku. 18 tahun aku hidup dihujani dengan kasih sayang seorang ibu dan seorang bapa yang benar-benar penyayang dan bertanggungjawab. Tetapi, aku naik hairan, kerana semakin usiaku beransur dewasa, semakin aku tidak berpuas hati dengan sikap dan tindak-tanduk mereka. Aku tidak tahu mengapa. Kata orang, takah usia remaja adalah fasa paling tidak stabil, dan segala yang berlaku dirasakan tidak betul dan tidak kena. Aku kira, aku sedang mengalami proses ini. Aku sedang menjalani proses transisi, masih terkial-kial mencari identitiku sendiri."
"Engkau sudah tersasar daripada soalan Why do you want to be a doctor.."
"Itu hanya muqadimah.. Aku ingin menjadi seorang doktor kerana ibuku. Melihatkan kesengsaraannya berperang dengan sakit yang dialaminya, dia masih kuat dan bertenaga untuk membesarkan aku yang tersedia tepu dengan pelbagai kerenah dan masalah. Melihatkan wajahnya yang semakin lanjut, dengan urat-urat tua yang semakin menyerlahkan usia tuanya, dia masih gagah bekerja untuk mencari rezeki buat anak-anaknya. Setiap hari, aku kerap mendengar kerangan kesakitan yang dirasai oleh ibuku. Hati aku begitu perit mendengar jeritan kesakitan itu. Kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Aku tidak sanggup lagi hanya menjadi penonton dan pendengar setia kepada insan yang telah banyak berjasa dalam hidupku, iaitu insan yang telah melahirkanku dan membesarkanku sehingga aku mampu berdiri seperti hari ini. Aku ingin menjadi seorang yang berkemampuan bukan hanya melihat kesengsaraan ibuku itu, tetapi berkemampuan untuk mengurangkan kesakitannya. Sebaik-baiknya, aku berupaya merawatnya suatu hari nanti dengan ilmu yang berbekal di dada. Sekurang-kurangnya, aku menjadi penawar kepadanya setiap kali dia melihatku, dan lebih bangga lagi apabila diriku bergelar sebagai seorang DOKTOR BERTAULIAH.. Menyaksikan keperitan masa lalu dan kesusahan yang aku bawa dalam hidup kedua ibu bapaku, telah meransang air mataku gugur setiap kali aku menjawab soalan penemu duga itu.."
Di bilik temu duga
Selesai sudah sesi temu duga setelah beberapa soalan lain diajukan kepadaku. Aku melangkah keluar dari bilik temu duga, dengan satu perasaan yang...... aku sendiri tidak mengerti. Adakah kosong perasaanku? Aku juga tidak mengetahui. Hanya ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI, yang tahu kebenaran dan kesahihan perasaanku..
***************
Pada hari ini, aku berasa tersangat bersyukur dan bertuah kerana Allah memudahkan lorong perjalananku dalam bidang perubatan ini. Pada peringkat awal, memang terasa sukar lorongnya. Tetapi aku bersyukur kerana sekarang aku bergelar pelajar perubatan tahun pertama di Melaka Manipal Medical College. Terlalu banyak cabaran yang aku lalui untuk mendapatkan lorong ini. Aku kira, ini semua adalah perancangan ALLAH YANG MAHA KUASA.
Ada ketikanya, aku terfikir juga,, apakah hikmah dan mehnah di sebalik segala peristiwa yang aku alami? Aku terasa diriku begitu kejam terhadap kedua ibu bapaku atas perlakuanku pada masa lampau. Memang benar, aku agak segan dan pemalu untuk menzahirkan kasih sayangku pada mereka. Tetapi, jauh di sudut hatiku, aku tersangat-sangat menyayangi mereka. Oleh sebab itu, apabila aku mendengar konflik antara ibu bapa dan anak, aku sentiasa berpihak kepada ibu bapa; meletakkan pihak ibu bapa adalah yang teratas. Walau apa jua yang terjadi, aku tahu, setiap ibu bapa sentiasa mahukan yang terbaik terhadap anak-anaknya. Suatu ketika dahulu (ketika zaman sekolah rendah, belum mencapai usia kematangan) aku pernah terfikir untuk lari dari rumah kerana tidak berpuas hati dengan ibu bapaku. Berkat doa kedua ibu bapa, aku diselamatkan olehNya. (Aku membatalkan niat itu kerana takut tidak cukup makan di luar sana, dan takut tidak dapat membedal masakan ibu yang enak-enak.. Aku merancang untuk lari dari rumah juga kerana terpengaruh dengan drama di televisyen. AWAS! Awasi tontonan anak-anak anda di rumah!"
Memang benar, adakalanya kita merasa bosan dan rimas dengan kongkongan ibu bapa terhadap pergerakan kita. Maka, keluarlah dialog-dialog sebegini pada ibu bapa. Jika tidak diutarakan pada mereka, ada juga yang bermonolog dalaman seperti kata-kata di bawah :
"Aku sudah remaja, aku mahukan kebebasan!"
"Mengapa perlu mak dan ayah melayan aku seperti budak-budak? Aku sudah besar, berilah peluang untuk aku tentukan hala tuju hidupku sendiri."
"Mengapa mak dan ayah tak percayakan aku? Cubalah faham kehendak dan keperluan diri aku. Ibu bapa kawan-kawan lain benarkan sahaja mereka pergi ke mana-mana, kenapa mak dan ayah aku tak benarkan?"
Inilah antara perasaan dan kata-kata yang pernah aku alami dan rasai. Bila teringat kembali, aku sendiri tidak mengerti dengan sikap dan sifat dingin aku ketika itu. Tetapi, sedarlah wahai sahabat-sahabat. Pandanglah ke kiri dan ke kanan, insafilah bahawa semua orang sedang berhadapan dengan hukum dunia ini. Malah, ada antara mereka yang menghadapi ujian yang lebih mencabar lagi daripada kita. Kita perlu bersyukur kerana masih dikurniakan nikmat kedua ibu-bapa yang sangat penyayang. Ada antara kawan-kawan kita, yang tidak sempat pun melihat kilas wajah ibu atau ayah mereka apabila mereka sudah celik, kerana Allah terlebih dahulu menjemput mereka menemuiNya. Ada juga antara kawan-kawan kita yang mengalami keretakan keluarga, dengan pelbagai masalah yang kadangkala mengganggu pelajaran mereka akibat tekanan daripada pihak keluarga. Namun begitu, jika ada antara kita yang mengalami dua situasi di atas, percayalah, kita masih lagi beruntung kerana masih dikurniakan hidayah Allah untuk hidup sebagai seorang muslim. Percayalah, ada orang yang kurang bernasib baik lagi berbanding dengan kehidupan yang kita kecapi sekarang.
Jika rasa diri ingin memberontak, imbaslah kembali detik-detik kita dilahirkan oleh ibu kita, hasil perkongsian benih kasih sayang kedua-dua ibu dan bapa kita. Janganlah kerana kehendak kita tidak dituruti, tanpa berfikir panjang kita menyandarkan kesalahan di bahu ibu bapa kita. Atau yang lebih teruk lagi, terus membuang ibu bapa daripada kamus kehidupan. Jika kita pernah merancang untuk membawa diri berjauhan dengan ibu bapa kita, renung-renungkanlah tindakan kita itu semasak-masaknya. Mungkin hari ini kita masih sempat untuk berpaling daripada melihat wajah tua mereka. Kita masih sempat memekakkan telinga daripada mendengar suara nyaring mereka (Walaupun bernada bebelan yang kadangkala merunsingkan fikiran). Kita masih sempat meninggikan suara melawan pendapat mereka yang bercanggah dengan pemikiran kita, malah berusaha menegakkan pendirian kita yang dirasakan benar-benar belaka. Tetapi, ingatlah,, kita semakin meningkat dewasa, begitu juga dengan mereka. Kita masih gagah, muda dan bertenaga, tetapi mereka hanya menjalani rutin harian dengan saki-baki umur mereka untuk melihat kita membesar sebagai manusia yang berguna. Bayangkan suatu hari nanti, ketika kita sedang berjauhan dengan mereka di rantau orang, tidak sempat kita membuat panggilan setiap minggu, Allah lebih pantas membuat panggilan kepada kedua ibu bapa kita untuk menemui ajal mereka. Kedua ibu bapa kita telah menjalankan tanggungjawab mereka melayan kerenah kita ketika kecil dan membesarkan kita. Sekarang adalah giliran kita pula untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang anak, berbakti dan melayan kerenah mereka pula.. Renung-renungkanlah..
[Aku ini insan yang penuh dengan cacat-cela dari segi peribadi, apatah HATI. Sedang berusaha membaiki hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia, khususnya keluarga terdekat. Kepada remaja-remaja di luar sana, kita semua akan melalui proses transisi ini sebagai seorang remaja. Bagi yang pernah merasai kekeliruan perasaan ini, akan tahu bagaimana rasanya. Bagi yang sedang mengalami proses ini, berhati-hati dan sedarlah bahawa anda sedang mengalami proses transisi ini. Tapi jangan risau, kerana ini adalah satu proses yang normal. Cuma perlu berwaspada dengan sebarang tindakan dan keputusan yang diambil. Berdoalah, semoga Allah sentiasa melindungi kita, dan melembutkan hati kita yang sedang keras dan masih degil terikat pada kata hati yang belum matang..wallahu'alam]