Aku tersentak seketika tatkala mendengar dialog yang dilafazkan oleh seorang sahabatku ini. Memang ku akui kepetahannya dalam berbicara, mampu memukau para pendengar meskipun baru pertama kali berjual-beli kata dengannya. Hatiku lebih cenderung untuk menghadam satu fakta yang sudah lama ku dengari dan ku ketahui; 'Sakit itu adalah kifarah dosa'
Hari ini, bertubi-tubi aku ditembak oleh deretan peristiwa yang bermaksud pengajaran buatku.. Hingga ke detik ini..
Ketika aku terlantar kesakitan di atas katil, terasa begitu lemahnya diri ini. Hendak menelan liur pun terasa begitu perit tekak ini, apatah lagi untuk melahirkan buah kata yang berjela-jela, mahupun mengangkat beban diri untuk cuba bangkit dari baringan yang berpanjangan. Semalam baru sembuh dari virus demam, hari ini berpindah pula jangkitan itu kepada orang lain. Kini sahabatku pula yang terlantar di baringan menunggu sembuh menjemput diri kembali. Selama sehari suntuk aku benar-benar menghadapi kesakitan dan kesulitan dalam bertindak, esoknya pula dalam sekelip mata aku sembuh tanpa diduga. Begitulah takdirNya, boleh melakukan segala macam tindakan, mampu mentakdirkan segala macam peristiwa, hanya dengan izinNya, hanya apabila dia mengatakan "Jadi!", maka jadilah ia.
Dan selama aku terperuk di dalam bilik 'menghayati' kesakitan, takkanlah tersia untuk Dia hadirkan ketetapan itu pada diriku. Pastinya ada sesuatu yang ingin Dia tunjukkan padaku.
Buat manusia yang leka seperti aku dan buat manusia yang mudah lupa seperti aku, mungkin ini peringatan buatku. Peringatan tentang apa? Peringatan tentang 'kesakitan'. 'Kesakitan' apa? Kesakitan yang aku tidak sedar bahawa aku adalah pesakit yang sedang menghidap satu penyakit. Ya, memang selalu orang yang berpenyakit, atau penghidap suatu penyakit memang tidak pernah mengaku bahawa dia adalah seorang pesakit yang berpenyakit! Cuba kita lihat orang yang menghidap diabetes atau kencing manis, pernahkah dia sedar atau mengaku bahawa,
"Aku adalah pesakit diabetes. Harus kurangkan pengambilan gula dalam gizi pemakananan, dan harus mengambil diet yang seimbang.. peace.. (~_^)v "
Sama sekali tidak! Samalah juga dengan pesakit-pesakit tegar yang lain. Pastinya mereka merasakan bahawa mereka adalah manusia yang paling sihat di alam raya ini. Hakikatnya adalah sebaliknya. Begitu juga dengan kesakitan yang aku alami, untuk aku hayati kesakitan itu. Mungkin sebelum aku ditempah kesakitan itu, aku terlalu leka dengan kehidupan kendiri yang bersifat keduniaan. Kesakitan itu adalah peluang untuk aku berehat sebentar bekerja untuk dunia, press the pause button, and think! Fikir apa yang telah aku lakukan hingga ke detik aku jatuh sakit. Adakah aku menjalankan tugasku yang sebenar sebagai seorang manusia, sebagai seorang khalifah pemakmur alam, sebagai seorang abid yang wajar beribadah menyembahNya. Bila hadirnya sakit, membuatkan aku mendongak ke langit. Bukan hanya berjalan semborono di muka Bumi ini tanpa perasan siapa yang berada di atas, siapa yang berkuasa mengatur seluruh kehidupanku sejak awal kelahiranku hingga ke detik aku baru terfikir tentangNya.
Jika dipaculkan perkataan 'kesakitan' kepada kita, apa yang bermain di kotak fikiran kita atau di benak sanubari kita? Mengapa perlu hadir fikiran lain melainkan peringatan terhadap kesakitan di Hari Kiamat nanti. Sakitnya diseksa di Hari Akhir jika amalan sahih yang ditimbang hanya segenggam pasir, tetapi maksiatnya berkira seguni tanah. Sakitnya diseksa di Hari Azab jika harta yang dipunyai hanya dibelanjakan untuk kemewahan dan keselesaan diri, tetapi begitu kikir didermakan pada yang perlu, begitu bakhil diinfakkan di jalan Allah. Sakitnya diseksa di Hari Kegoncangan jika hidupnya hanya tertumpu pada pandangan manusia, tetapi pandangan Allah diabaikan. Sakitnya diseksa di Hari Pembalasan jika hatinya yang satu dimampatkan dengan kasih sayang dan cinta manusia, tetapi cinta Allah hanya ditampal-tampal kerana tiada lagi ruang untuk mencintaiNya. Aku sudah yakin dan percaya dengannya. Jadi mengapa perlu berlagak sudah bersedia menemuiNya? Peritnya sakit di dunia ini bila nikmat kesihatan yang dipinjam ditarik kembali. Tidak dapat dibayangkan bagaimana peritnya pula siksa di Hari Kiamat yang kekal dan lagi hebat.
Aku cuba merenung lagi ibrah di sebalik kesakitan itu, mengapa kerap benar kesihatanku diuji belakangan ini. Semakin hampir dengan dengan peperiksaan penting, semakin menjadi-jadi pula kekerapan kurang sihat ini. Mungkin Dia mahu aku dan sahabat seperjuanganku turut sedar tentang kekuasaan Dia yang sebenar-benarnya. KekuasaanNya yang hakiki! KekuasaanNya yang sering digembar-gemburkan kepada para mad'u, kepada sekalian khalayak! KekuasaanNya yang mampu mengubah sejarah hanya dengan satu petikan jari! Dia mahu aku, dia dan kalian lihat Dia! Perasankan Dia. Kerana Dia, aku masih gagah berdiri hari ini hatta semalam aku lemah tak terdaya. Kerana Dia, aku diberi peluang menghirup udaranya secara percuma yang menjadi asbab aku bernafas hingga ke saat aku menulis setiap aksara di alam maya ini. Kerana Dia, aku bahagia dan bebas daripada kegeringan. Kerana Dia, dia bahagia, kalian bahagia, kita semua bahagia. Kerana Dia yang mengizinkan semua ini berlaku.
Tanpa izinNya, gadailah sebanyak mana wang dan harta, tetap masam juga wajahnya.
Tanpa izinNya, laburlah sebanyak mana masa bersamanya, tetap derita juga rasanya.
Tanpa izinNya, hantarlah seangkatan tentera untuk menjaga keselamatannya, tetap tidak selamat daripada jatuh sakit.
Tanpa izinNya, curahlah sebanyak mana keprihatinan dan kasih sayang padanya, tetap kosong juga perasaannya.
Tanpa izinNya, buatlah semahu-mahunya apa yang kita fikirkan terbaik untuk kita dan untuk sesiapa sahaja. Tetap hodoh juga keputusannya. Kerana manusia itu lemah, sentiasa tertakluk kepada penguasa teragung iaitu Allah. Maka, janganlah persiakan setiap denyut nadi kita semata-mata bekerja untuk manusia, atau mencari perhatian manusia. Sebaliknya, raihlah dan rebutlah perhatianNya. Semoga berbaloi kesakitan yang dialami atas ibrah yang diilhamkan pada hati.
Penulis yang baik adalah penulis yang akan mengalir padanya pahala ketika tidur. Teruskan bertinta. :)
ReplyDeleteTahniah!