Monday, March 24, 2014

Catalyst-ku

Assalamualaikum..

Ke hadapan ukhtiku sayang…

Kaifa haluki wa imanuki? Apa khabarmu dan imanmu?
Diharapnya jawapan kepada soalan ini sentiasa baik dan berfasa pembaikan dari masa ke semasa. Meski jasad kita berada di dua benua berbeza, tetapi kuharapkan ruh kita sentiasa bersatu dalam tahajud dan doa kita hari-hari..

Allah adalah sebaik-baik Perancang. Dia telah menetapkan suatu perancangan yang sering kali berlaku di luar jangkaan kita, manusia yang dhaif dan sangat terbatas pemikiran dan pengetahuannya tentang masa hadapan. Apa yang pasti, perancanganNya adalah yang terbaik. Perancangan yang terbaik sehingga tidak terjangkau akal kita memikirkan hikmah yang terselit di sebalik pelbagai peristiwa yang mendatang. Kerana pena telah diangkat dan lembaran sudah pun kering, seperti yang telah tercatat di Luh Mahfuz sana, engkau ditakdirkanNya menyusul dahulu dalam perjuangan kita di medan sebenar dakwah ilallah ini.

Mungkinlah kerana palitan jahiliah dan kekurangan yang serba-serbi pada diriku, serta kekuatan yang mendasar pada dirimu, menjadi asbab takdirNya sebegini rupa. Kehadiranmu di sana menjadi harapan besar kami di sini. Pengharapan untuk mencari kunci kepada ‘permainan’ tarbiyah yang masih kabur coraknya, dan yang boleh jadi mengelirukan rentak permainannya. Pengharapan untuk menguatkan benteng pertahanan daripada asakan ikan-ikan Hari Sabat yang kian menyelerakan. Pengharapan untuk membuka sedikit ruang nafas dakwah setelah dada asyik disempitkan oleh konflik-konflik kefahaman yang mencapah, konflik-konflik yang tidak ketahuan punca sebenarnya, konflik-konflik yang menumbuhkan rasa takut dan risau aku di sini dan di kala ini..

Wahai ukhtiku sayang,

     Jika imanmu dan hamasahmu sedang melonjak, mungkinlah derapan dakwahmu bergema kuat hingga bunyinya tersebar ke benua ini, serta ekoran keimananmu bisa menggetarkan musuh di hadapan. Namun, jika imanmu dan hamasahmu sedang memudar, mungkinlah langkah dakwahmu juga kian melesu, syaitan-syaitan dan tenteranya sedang asyik bergayut di hatimu sambil membisikkan kalimah futur. Di saat ini, aku ingin membawa engkau menelusuri sebuah kisah,,, kisah seseorang yang aku sendiri cemburui sifat dan perwatakannya,,, kisah seseorang yang mungkin membuatkan kita malu dengan diri sendiri atas futur yang remeh ini,,, kisah seseorang yang diharapkan dapat menetaskan sebutir keimanan dan hamasah untuk kembali berbuat di jalan ini... Tidaklah banyak yang aku tahu tentangnya, tetapi beberapa episod kehidupannya begitu mengharukan jiwa ini...

Pabila diperdengarkan tentang kisahnya, timbul perasaan cemburu aku terhadapnya. Masakan tidak, keakrabannya dan kesetiaannya terhadap kekasih Allah, Rasulullah s.a.w menjadikan beliau antara watak yang teristimewa sepanjang hayat Rasulullah sendiri.

Sebelum turunnya perintah berhijrah, beliau telah pun menyediakan unta dan sedikit harta untuk hijrah tersebut. Betapa sensitif dan pekanya beliau terhadap keperluan dakwah. Hanya waqi’e (suasana/keadaan/environment) yang terpampang, beliau sudah arif menafsirkan keperluan dakwah pada masa yang mendatang. Seorang doktor pun memerlukan informasi yang mencukupi sebelum mendiagnos sesuatu penyakit. Boleh jadi history taking menjadi panjang lebar dan berlanjutan beberapa hari untuk memastikan signs and symptoms menepati diagnosis tersebut. Tetapi, bagaimana seorang manusia biasa mampu menafsir dengan tepat jangkaan dalam jalan dakwah ini? Mungkinlah kerana akrabnya beliau dengan Rasulullah, akrabnya beliau terhadap kehidupan dakwah itu sendiri menjadikan diagnosis dakwah ini begitu mudah. Satu kelebihan yang Allah kurniakan kepada hambaNya yang suci, tulus, mulus dan ikhlas menyembahNya.

          Jika dibandingkan dengan diri kita, berapa jauhkah jaraknya antara kehidupan Sang Da’ie Rabbani itu dengan rutin harian kita? Sudahkah cukup kesetiaan kita kepada jalan dakwah ilallah ini? Mungkin kerana hati belum cukup sempurna mencintai jalan ini, kesetiaan terhadapNya masih diragui ketulenannya, kerana itu tafsiran tepat pada permasalahan dakwah masih terhijab pada diri ini. Meskipun sudah melimpah klu yang dicampakkan olehNya terhadap umat zaman ini, jalan penyelesaiannya masih menemui kebuntuan, pencerahan daripadaNya masih terbantut. Ini semua akibat daripada dosa-dosa lampau kita, akibat daripada jahiliah-jahiliah yang sukar dilepaskan daripada diri.

         Apa yang terjadi seterusnya?

          Ya, setelah turunnya perintah hijrah daripada Allah, beliaulah sahabat setia yang menemani penghijrahan Rasulullah s.a.w. Beliaulah insan yang menemani perjalanan yang cukup mencemaskan dan mendebarkan ini. Tanpa rasa takut dan gentar. Tanpa menoleh ke belakang dan menuding jari ke arah orang lain sebagai alasan seorang yang pengecut. Sehingga peristiwa ini dan perbualan mereka dicatatkan di dalam Surah At-Taubah, 9: 40;

“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) ketika dia diusir oleh orang-orang kafir (dari kampung halamannya), dalam keadaan berdua orang sahaja di dalam suatu gua, di kala itu dia (Muhammad) berkata kepada sahabat karibnya : Jangan engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhan bersama kita. Tuhan menurunkan ketenangan kepadanya dan dikuatkannya dengan tentera yang tidak kamu lihat. Dan Tuhan menjadikan perkataan orang kafir itu paling rendah dan perkataan Tuhan itu yang amat tinggi. Dan Tuhan Maha Kuasa dan Bijaksana.”

          Alangkah bahagianya hidup beliau kerana mendapat jawapan langsung daripada Allah. Dekatnya rasa dengan Allah itu lebih dirasai dan mampu dihayati sepenuh jiwa.

Ma’iyatullah.

Itulah rahsianya.

Ma’iyatullah (Kebersamaan Allah) yang menemani perjalanan mereka. Itu yang menjadikan perjalanan mereka berharga. Bukan sekadar Ma’iyah Al-Ammah (Kebersamaan Allah yang umum) yang mereka perolehi, malah Ma’iyah Al-Khasah (Kebersamaan Allah yang khusus) sudah membuktikan kebenaran dan kemenangan berpihak kepada mereka. Di saat hati gentar dengan kekuatan musuh, keadaan pula meruncing seperti telur di hujung tanduk, ma’iyatullah yang menenangkan mereka. Bukankah sudah cukup Allah sebagai peneman hidup kita? Bukanlah peneman di siang hari sahaja, atau peneman di malam hari cuma. Bahkan bukan sekadar peneman di kala lapang atau sempit, susah atau senang, suka atau berduka. Tetapi, pabila janji Allah dikatakan untuk bersama hambaNya, dikotakannya menjadi teman sejati kita pada setiap ketika! Allahuakbar…

Wahai ukhtiku sayang,

          Seperkara lagi yang ingin aku kongsikan tentangnya. Sesuatu yang bisa membuat kita terdiam kerana kekaguman yang melampau terhadap keimanannya. Suatu hari, di saat Rasulullah s.a.w bersama para sahabatnya, baginda berkata,

          “Timbangan yang paling berat adalah timbangan Umar Al-Khattab…”

Para sahabat terpinga-pinga dengan kenyataan baginda. Masing-masing bertanyakan tentang status si sahabat karib baginda. Sedangkan, beliaulah yang sentiasa fastabiq, berlumba-lumba dalam mengerjakan apa-apa kebaikan, beliaulah yang lebih banyak meluangkan masa bersama baginda, beliaulah pemula kepada segala kebaikan setelah diberitakan oleh Rasulullah. Jadi, mana mungkin Saidina Umar yang meraih takhta ini…
Maka, jawab baginda s.a.w;

          “For the likes of him, there is no scale…”

“Untuk orang yang seperti beliau, tiada penimbang yang bisa menimbang amalannya…”

Allahuakbar…

Tahukah engkau apakah maksudnya jawapan baginda ini?
Ini bermaksud amalan beliau terlalu banyak dan berat sehingga tiada penimbang yang mampu menimbang banyaknya amalan beliau! Subhanallah…

Inilah susuk tubuh seorang tokoh yang wajar disegani oleh semua kelompok manusia, Saidina Abu Bakar As-Siddiq. Bukan ‘kepimpinan’ Bush, Barrack Obama etc yang menjadi sanjungan. Atau ‘kredibiliti’ Lee Dong Wook, 2PM, SNSD, CN Blue etc dalam dunia kesenian yang menjadi kegilaan masyarakat. Atau ‘kehebatan’ Aaron Aziz, Fahrin Ahmad, Maya Karin etc sebagai anak seni yang menjadi ikutan.

Sebaliknya susuk peribadi seperti Saidina Abu Bakar ini yang patut dikuasai sifatnya. Seorang lelaki yang mulia, yang mendapat jolokan ‘As-Siddiq’ (yang membenarkan) daripada Rasulullah sendiri kerana beliaulah satu-satunya insan yang membenarkan segala-gala yang datang daripada baginda s.a.w, di saat masyarakat menafikan peristiwa isra’ mi’raj yang dianggap tidak masuk akal.

Beliaulah lelaki pertama yang memeluk Islam setelah keislaman Siti Khadijah.

Beliaulah antara saudagar kaya yang menyumbangkan harta dan sepenuh jiwa fi sabilillah (di jalan Allah).

Beliaulah antara yang membarisi saf hadapan dalam setiap siri ghazwah (perang) memerangi kebatilan.

Beliaulah antara tulang belakang Islam yang menyokong permulaan dakwah Rasulullah, hingga kewafatan baginda.

Beliaulah sahabat yang jika ditimbangkan keimanan seisi Bumi sekalipun, timbangan masih memberat kepada keimanan Saidina Abu Bakar.

Beliaulah antara 10 sahabat yang dijanjikan syurgaNya.

Beliaulah Khalifah Abu Bakar As-Siddiq…

Beliaulah… Beliaulah… Beliaulah…

Beliaulah Saidina Abu Bakar As-Siddiq…


          Seseorang yang menjadi pemangkin semangatku di jalan ini. Begitu teruja aku mendengar kisahnya, dan jiwa tidak pernah kering setiap kali diperdengarkan tentangnya. Aku juga ingin menjadi sepertinya. Seorang yang sangat dekat dengan baginda. Kerana dekatnya juga hubungannya dengan Sang Pencipta ini menjadikan beliau turut disayangi dan disanjungi oleh masyarakat di setiap zaman. Itu juga menjadi cita-cita terbesarku.
Hidup untuk Allah, benar-benar menghidupkan jiwa sendiri dan jiwa umat dunia. Serta mengakhiri kehidupan dengan kematian yang luar biasa, iaitu kematian yang menghidupkan, dengan bergelar sebagai seorang syuhada’.

“Sesungguhnya, solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam,” (Al-An’am, 6: 162)


Maka ukhtiku sayang,

Selamat meneruskan perjuangan di sana!

Nantikan kepulanganku dan kami di sini untuk turut bersama berair mata darah berjuang di jalan ini. Enam bulan bukanlah tempoh yang panjang atau lama bagi seorang da’ie. Kerana masih banyak lompong yang perlu diperbaiki pada diri ini, sebelum layak berbaris bersama pejuang kental sepertimu! 

     

Tuesday, January 28, 2014

Kun Fa Ya Kun

Perasaanku bercampur-baur. Adakalanya takut, adakalanya seram, adakalanya risau. Seorang diri menantikan ketibaan sebuah bas untuk menjemputku menyeru ke sebuah kawasan. Khabar yang baru diperdengarkan tadi juga berterusan menghantui benak fikiran dan perasaanku. Semua perasaan ini bersatu dan membuatkan jiwaku tidak tenteram. Tiada walau sesaat pun ketenangan menyinggah ke hati ini. Masih terngiang-ngiang butiran kata-katanya dan setiap kali memikirkannya membuatkan dahiku berkerut ketat. Adakalanya sebak. Mungkin belum terzahir lagi air mataku, tetapi di dalam hati sudah terobek benar!   

          Sesampainya bas yang dinanti, terpancar sekelumit kelegaan dalam riak wajahku. Tersenyum seorang diri walau tiada siapa yang melambai atau meraikan permusafiranku. Sekurang-kurangnya, debaran seorang diri di stesen bas termansuh perlahan-lahan. Aku terus berdiri dari dudukku dan menaiki bas tersebut. Kemudian, aku mengambil posisi yang selesa di tempatku. Bas pun bertolak pergi. Aku merenung ke luar jendela bas sambil memikirkan apa yang dimuntahkkan oleh bibir dan hatinya siang tadi.

   "Diagnosis doktor di Malaysia adalah endometriosis. 3 doktor pakar ana rujuk dan kesemuanya membuahkan hasil diagnosis yang sama iaitu endometriosis..."

Dahiku berkerut di saat perkhabaran ini sampai ke telingaku. Terkejut! Tidak pernah kusangka, insan yang tertampil ceria setiap kali bertemunya, rupa-rupanya sedang berperang dengan sesuatu yang besar dalam hidupnya. Kelihatan sihat luarannya, tetapi jasadi itu sendiri diuji dengan hebatnya. Pada masa yang sama, otakku ligat bekerja mengimbas kembali aetiology (punca penyakit), pathogenesis (proses terjadinya penyakit tersebut) dan complications bagi endometriosis. Memori lama tentang ilmu Pathology digali kembali untuk memahami status dan risiko penyakit ini terhadap pesakitnya. Jika diikutkan, sudah berkarat ilmu itu akibat lama dibiarkan tidak berasah. Ilmu Pharmacology yang lebih menguasai fikiranku. 

   "Endometriosis?" tanyaku inginkan kepastian yang sebenarnya sudah terbukti jelas di depan mata jawapannya.

   "Ya, endometriosis, the presence of endometrial lining outside uterus." terangnya dengan yakin untuk membenarkan apa yang kudengar tadi.

Satu hakikat yang aku tersedar bahawa ia adalah sesuatu yang tidak normal. Keberadaan tisu endometrium di luar uterus adalah sesuatu yang tidak normal, kerana hakikatnya keberadaan tisu endometrium yang hakiki adalah di uterus sahaja, bukan di lokasi selainnya. Aku sedar bahawa endometriosis adalah satu kondisi yang kurang digemari oleh pemiliknya kerana mempunyai prognosis (jangkaan status penyakit, sama ada baik atau buruk) yang kurang baik. Jika berlaku metastasis (merebak ke organ atau lokasi lain), pasti membarah dan memberi kesan yang lebih buruk kepada organ lain dan seterusnya mengganggu sistem di seluruh tubuh.

Kemudian, sambungnya lagi dengan nada yang lebih perlahan, "Dan doktor mendiagnos ana bahawa ana tidak boleh mengandung..."

     "...ANA TIDAK BOLEH MENGANDUNG..."

Allahuuu..

Kali ini jiwaku benar-benar tersentak. Terkejut. Terkesima.
Mataku tepat memandang ke wajahnya. Kaku lidah ini tanpa bicara. Aku terdiam lama. Lama daripada biasa. Sehinggalah suaranya yang muncul untuk memecahkan kesunyian bicara antara kami.

   "Sahabat ana yang dengar berita ini pun terdiam juga. Sama responnya seperti enti. Tak mengapalah.. Ambillah masa untuk menghadam berita ini..." katanya sambil menghirup kopi panas di hadapannya. Tangannya bermain-main dengan buih kopi itu. Sementara aku mengalihkan pandangan ke arah lain untuk menangkap ruang pandangan yang lebih jauh. Jauh renunganku sambil mendalami perasaan insan kesayanganku yang terpacak di hadapanku.

Ya, aku sedang berfikir dan menghadam berita itu. Sulit benar perasaan ini. Seorang yang sangat ekspresif seperti diriku, tetapi perlu mengawal perasaan dan bicaraku sebaik mungkin. Tersalah langkah dalam melahirkan riak wajah, pastinya mengundang pertemuan yang sia-sia. Liar fikiranku mencari buah kata yang sesuai untuk dilontarkan kepadanya. Tetapi usahaku gagal. Perasaan sebakku lebih mendominasi jiwaku ketika itu.

Refleksi diri menghujani jiwaku.
Mana tidaknya, di saat insan lain sibuk dengan pelbagai konflik diri:

  "Aku ni tak cantik macam dia lah, mesti tiada siapa yang sudi mengahwini aku..."

  "Aku mahu kahwin, tapi tiada calon yang sesuailah..."

  "Ada calon, tapi dia ni bukan ikhwah lah. Tak mahulah..."

  "Dah berkenan kat dia, tapi dia ni ikhwah 'sekolah' lain. Nanti susah pula nak hidup dan memahami kerana berbeza fikrah..."

  "Aduh, banyak betul calon nak pilih ni. Rambang mata ana..."

  "Calon dah ada dah. Tapi parents tak kasi kahwin waktu belajar. Nanti susah bila sudah beranak bagai..."

  "Susah lah nanti kalau suami dan isteri doktor. Siapa nak jaga anak nanti kalau dua-dua busy? Kalau si isteri doktor, si suami dentist pun ok juga..."

Dan bermacam-macam lagi situasi dan dialog yang didendangkan ke telingaku.
Maklumlah, remaja yang usianya sekitar 20-an, pastinya isu baitulmuslim (rumah tangga) ini menjadi topik hangat bagi kelompok manusia ini.

Dan konflik-konflik yang wujud di sekitarku inilah yang mendesak jantungku menjadi semakin sesak. Di saat manusia lain pening dan serabut 'memilih calon' mereka, ukhtiku ini belum tentu pun berjaya ke peringkat 'memilih calon' ini.

   "Ana pun keliru. Adakah wajar ana beritahu kepada calon zauj (suami) tentang kondisi ana ini. Wajarkah enti?" tanyanya padaku.

   "Hurm..aseef..ana tak tahu sangat hukum dan fiqh dalam situasi ini. Tapi, kalau ikut rasional, memang wajarlah beritahu. Sebab kita sudah pun mengetahui penyakit ini sebelum akad nikah berlangsung," jawabku sejujurnya dengan bekalan ilmu fiqh yang sangat minima. Kesal juga atas batasan ilmu di dada, tidak mampu meleraikan persoalan yang membungkam di jiwanya.

   "Ya lah. Kalau ikut rasional dan logik akal, memang perlu beritahulah kan. Pada asalnya memang rancangnya untuk disatukan dengan seorang calon zauj itu. Pilihan keluarga. Memang bersetujulah si lelaki itu untuk dijodohkan dengan ana," katanya. Aku mengerti, keelokan pada paras rupanya tidak memungkinkan mana-mana jejaka pun menolak pilihan keluarga ini.

   "Tetapi, setelah mengetahui kondisi dan situasi ana, faham-fahamlah, ditariknya kembalilah perancangan asal tadi..." ujarnya. Dia terdiam sejenak.

   "Tidaklah dia menolak secara terang-terangan dan jelas. Tetapi ana fahamlah maksud jawapannya..." tambahnya lagi.

Allahu..

Perit benar jiwa ini menanggung khabar ini. Berat mata memandang, memang aku tahu berat lagilah bahu yang memikulnya. Aku yang hanya mendengar ini pun sudah berat dan sakit rasanya. Apatah lagi dirinya, si empunya bebanan. Meskipun situasi ini teremban atas dirinya, ingin sekali aku katakan padanya bahawa aku juga turut merasai beratnya perasaan itu. Kerana jiwanya juga adalah jiwaku, sakitnya dia maka sakit juga aku. Jika boleh dipindahkan bebanan perasaan itu kepadaku, aku rela jiwaku terbeban atas perasaan yang sama. Terasa benar kuatnya dirinya atas ujian yang ditimpa ke atasnya. Aku masih lagi mencari kata, sekurang-kurangnya sesuatu yang dapat menyenangkannya. Namun, gagal. Ku cuba lagi. Tetap gagal! Hanya satu jawapan yang aku temui... iaitu fafirru ilallah.. Kembalilah kepada Allah...

   "Allah tahu enti kuat..." sayu suaraku sambil menyelami perasaannya.

   "Ya lah.. Setiap orang pasti ada ujian yang spesifik untuk dirinya. Enti pernah dengar kan kata-kata ini, 'Ujian yang hebat adalah untuk tenteraNya yang hebat'..Allah tahu enti kuatlah, maka Dia berikan enti ujian sebegini..." kataku lembut sambil cuba menahan air mataku.

   "Kalau ana berada di posisi enti, pertama sekali ana rasa, sangat penting untuk kita bersangka baik dengan Allah. Seorang hamba itu tidak merasakan bahawa Allah sedang menganiayai dirinya di saat diuji dengan sesuatu yang berat. Sebaliknya, seorang hamba itu sewajarnya merasakan bahawa apa yang dihadirkan oleh Allah untuk dirinya adalah sebuah kebaikan. Ujian yang dihadirkan sentiasa Dia sertakan dengan rahmat dan kasih sayangNya..."

   "Setiap kali sebuah ujian dibentangkan di hadapan hambaNya, tiada apa yang ingin Dia harapkan, melainkan untuk kita ini kembali kepadaNya, fafirru ilallah. Kembali bersujud kepadaNya setelah sekian lama jasad ini berjalan angkuh di atas muka BumiNya tanpa menjalankan taklifah yang diamanatkan kepada kita. Rasailah ukhti, bahawa setiap ujian itu adalah panggilan daripadaNya. Panggilan mesra dan kasih seorang tuan terhadap hambaNya..."

Pandangannya masih lagi tertumpu kepada cangkir kopi itu tadi.

   "Enti ingat tak peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria?" soalku untuk membawanya menyelami seerah nubuwwah yang memberi erti besar dan signifikan yang luar biasa bagi setiap makhluk yang bernama manusia. Aku mahu dia rasakan bahawa dia tidak keseorangan dalam menanggung derita ini, sebaliknya telah pun diterokai penderitaan ini sejak zaman para anbiya'.

   "Oh, kisah yang mana satu?" soalnya kembali sambil mengangkat kepala daripada tunduknya.

   "Kisah tentang isteri Nabi Ibrahim dan isteri Nabi Zakaria?" jawabku. Firman Allah;

          (Allah berfirman), 'Wahai Zakaria! Kami berikan khabar gembira kepadamu dengan seorang anak lelaki namanya Yahya, yang Kami belum pernah memberikan nama seperti itu sebelumnya.

          Dia (Zakaria) berkata, 'Ya tuhanku, bagaimana aku akan mempunyai anak, padahal isteriku seorang yang mandul, dan aku sendiri sesungguhnya sudah mencapai usia yang sangat tua?'

          (Allah) berfirman, 'Demikianlah,' Tuhanmu berfirman, 'Hal itu mudah bagiKu, sungguh engkau telah Aku ciptakan sebelum itu, padahal (pada waktu itu) engkau belum berwujud sama sekali.'

[Surah Maryam, 19:7-9]


     "Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria sangat mengharapkan rantaian zuriat terlahir daripada benih mereka. Tetapi, kekhuatiran menyelubungi mereka kerana mereka mengerti sunatullah manusia, bahawa usia yang semakin lanjut tidak memungkinkan zuriat itu mampu dihasilkan. Namun, apa kata Allah? Kata Allah, sesuatu itu pasti berlaku atas izinNya. Kekuasaan Allah pastinya lebih kuat daripada rasional manusia. Kekuasaan Allah mampu menolak segala logik akal manusia. Tiada apa yang mustahil dengan kuasa Allah. Pada kudrat manusia memang tidak mampu berbuat apa-apa, tetapi atas kudrat dan iradat Allah memungkinkan segala-galanya!"

     "Kerana itu wahai ukhtiku sayang, janganlah berputus harap daripadaNya. Kerana hambaNya yang berputus asa dengan rahmatNya adalah hambaNya yang rugi. Teruskan berdoa dan meminta sungguh-sungguh denganNya..."

     "Mungkin ini adalah saat Allah benar-benar ingin menguji keikhlasanmu menyembahNya, Dia ingin menguji keyakinanmu terhadapNya, Dia ingin menguji kebergantunganmu kepadaNya..." sebak benar aku mendengar butir-butir dari bibirku yang diilhamkanNya ini. Terasa seperti Dia ingin menyampaikan kata-kataNya ini kepadaku.

     "Ukhti, bersabarlah dengan ujian ini. Mungkin kita terhijab daripada melihat hikmah peristiwa ini sekarang. Akan tetapi, berkat kesabaran enti mendepani permasalahan ini, mungkin Dia ingin menyediakan seorang teman hidup yang terbaik buat enti.

Itulah si lelaki yang turut tinggi keimanannya dan keyakinannya terhadap janji-janji Allah, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan meyakini bahawa kuasa Allah mengatasi teori manusia.

Itulah si lelaki yang memuncak kebergantungannya kepada Ilahi, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan meyakini bahawa rezeki hidup (cahaya mata) yang diperolehi berkadar langsung dengan kebergantungan kepadaNya.

Itulah si lelaki yang agung kesabarannya, iaitu si lelaki yang sanggup menerima enti dan bersabar melayari bahtera kehidupan bersama enti dalam menjalankan tugas sebagai abid dan khalifah.

Mungkin ini ciri-ciri zauj yang Dia simpankan untuk enti. Jika tidak diizinkan untuk dipertemukan di dunia ini, mungkinlah ditangguhkan detik kebahagiaan ini di syurgaNya nanti..." jelasku dengan panjang lebar. Aku harapkan sedikit ketenangan menusuk ke dalam jiwanya dengan bawaan kisah para nabi yang jauh lebih berat ujiannya dibandingkan dengan manusia biasa seperti kita.

     "Allah tahu enti kuat.. Allah tahu enti kuat kan.. Enti kuat kan.." tidak jemu kuulang mantera itu untuk memberikan kekuatan kepadanya.

     "Sudah sudah..tidak perlu katakannya berulang kali lagi..." tegahnya. Aku tahu dia khuatiri air mata jernihnya akan terembes di hadapanku jika aku mengulangi mantera itu lagi. Tujuanku tidak lain hanyalah untuk mengukuhkan kekuatan dalamannya, selain daripada bermaksud untuk mendoakan kesabaran dan kesejahteraan agar tersimbah ke dalam hidupnya.

     "Seperkara lagi enti. Untuk pengetahuan enti, ada sahaja seorang ukhti ini tidak mahu berkahwin kerana takut dan risau sekiranya perkahwinan itu melambatkan dakwah dan tarbiyahnya. Jadi, berbalik kepada tujuan kita melangsungkan perkahwinan. Adakah sekadar memenuhi naluri dan fitrah kita yang inginkan pasangan hidup, atau untuk tujuan yang lebih besar lagi? In syaa allah enti, sama-samalah kita berdoa dengan lebih keras lagi. Jika apa yang ditakdirkan untuk kita ini akan mengakrabkan lagi hubungan kita denganNya, marilah kita cuba menerima segala qadarNya dengan selapang-lapang dada dan hati. Semoga kita juga menjadi antara penyumbang tegar Ad-DeenNya dan semoga kita juga terpilih sebagai tenteraNya yang membersihkan Bumi ini daripada taghut dan kejahilan..."

     Itulah bayangan peristiwa yang menemani tidurku malam itu. Tiada tumpuan lain yang lebih menarik fikiran dan hati ini daripada berterusan memikirkan tentangnya. Kalaulah dia tahu betapa sayangnya aku padanya. Meskipun jauh di mata, tetapi dia sentiasa dekat di hati. Kuatkanlah semangat dan kukuhkanlah ikatan dengan Yang Maha Esa. Yakinlah wahai ukhtiku sayang, Dia ada bersamamu selagimana engkau sanggup bersamaNya...

Uhibbuki fillah..

Semoga pertemuan dan perpisahan kita akan menunjangkan keimanan yang mendasar.

Wednesday, September 11, 2013

VISA oh VISA!

Thursday, 5th September 2013

"Sorry mam, we cannot pursue your visa request right now. You have to wait," kata seorang pegawai visa di India Visa Centre.

"Why?Since when?" tanya seorang wanita mahukan kepastian statusnya.

"Oh, it was already implemented since years back right?You will not simply get the visa. You should fill in this form first."

"No no no.. There is no such thing before this. Even a day before my flight, I apply the visa and I get it. You can check my passport for verification," katanya sambil membuka tas tangannya untuk mengambil pasportnya.

"Oh, it is the new policy mam."

Wanita tadi terdiam, dan kemudian bertanya,

"For how long do I have to wait?"

"I'm not sure, may be 1 week, may be 10 days. I'm not sure. I'll check it out. You can fill in this form. My colleague will help you out," katanya sebelum berlalu pergi.

Wanita itu duduk sambil mengerutkan dahinya tanda kekeliruan dengan polisi baru yang sangat asing bagi dirinya. Di belakangnya kelihatan seorang remaja lelaki bersamanya. Anak lelakinya mungkin. Kemudian, datang kembali pegawai visa itu menuju ke wanita tadi dan berkata,

"Sorry mam, it may takes 1 month," sambil menunjukkan muka bersimpati.

"What?Oh my god!!! It's really really nonsense. My flight is on this Monday," jawab wanita tadi separuh menjerit, disoroti dengan raut yang menampilkan penuh rasa kecewa. 

"Sorry mam." Itu saja kalimah yang diulang-ulang oleh pegawai itu. Penampilannya agak tegas walaupun beliau adalah seorang wanita. Aku kira itulah salah satu watak yang perlu ada pada diri seorang da'ie. Tegas dan tetap dengan pendirian sendiri. Yakin diri yang tinggi untuk menyatakan apa yang diyakini, dan berani berhadapan dengan pelbagai jenis ragam mad'u yang terbentang di hadapan.

"Is it the same goes to my son?" tanya wanita itu lagi.

Kata pegawai tadi, visa anaknya tiada masalah. Kemungkinan akan mendapat pengesahan daripada pihak Kedutaan India dalam masa yang terdekat. Yang menjadi masalah adalah ibu bapanya, yang merupakan warganegara Pakistan. Barangkali pesawat yang mereka naiki perlu mendarat di Lapangan Terbang India sebelum tiba ke Lapangan Terbang di Pakistan.

Dengan sayunya, wanita itu berkata,

"Oh my god.. I cannot go to my own country?I just want to visit my own country..my own country.."

Allahuakbar..mendengar kata-kata ini membuatkan hatiku menjadi sebak. "I cannot go to my own country??"

Allahu..allahu..allahu.. Wajah-wajah saudara-maraku di Palestin terus melintasi benak dan fikiranku. Mungkin inilah perasaan dan persoalan yang sentiasa bermain dalam hati dan sanubari warga Palestin. Mereka berada di tanah air mereka sendiri, namun pemilikannya dirampas oleh kuasa-kuasa laknatullah si yahudi dan konco-konconya. Mungkin itu yang mereka perangi hari-hari dalam hidup mereka. Memperjuangkan tanah suci mereka daripada pengganas-pengganas yang kurang ajar. Menangisi dan meraung atas kecabulan terhadap hak mereka yang hakiki.

Ibaratnya kini kita sedang belajar di perantauan, dan memiliki sebuah banglow mewah ataupun sebuah teratak indah di Malaysia. Bila tiba hari raya atau bila tiba musim cuti sekolah, dengan penuh riang gembira kita berangan-angan ingin pulang ke rumah tercinta, berjumpa ibu ayah tersayang, melepaskan segala rindu yang bersarang di dada. Dengan yakinnya kita berfirasat, kita pasti akan kembali ke pangkuan keluarga!

Namun, pihak imigresen warga asing menahan kita. Lagaknya seperti negara ini milik mereka.Dan mereka menghalang perjalanan pulang ke sana. Segala dokumentasi dan barang milik kita dirampas, dan kita pula dikatakan penceroboh dan penjenayah negara itu! Segala impian tadi terhapus seperti kepulan asap di awangan. Terkubur sebagai mimpi ngeri. Sementara ditahan di lokap, terdengar pula desas-desus mengatakan segala makhluk bernyawa yang wujud di wilayah teratak kita tadi akan dibunuh! Dimusnahkan! Kita sedar ibu bapa dan adik-beradik tersayang kita ada di sana. Mereka juga termasuk dalam golongan yang akan ditamatkan hayatnya oleh puak-puak penyangak itu.

Apa agaknya perasaan kita ketika itu?
Masih mampukah kita bernafas memikirkan perihal diri kita?
Atau memikirkan kelazatan makanan yang belum kita rasai?
Atau memikirkan keempukan tilam yang belum kita tiduri?
Atau memikirkan kecantikan pakaian yang belum kita beli?
Atau memikirkan kemewahan harta yang belum kita nikmati?
Atau memikirkan kejayaan kerjaya yang belum kita kecapi? 
Sempatkah walau sesaat untuk kita fikirkan tentang semua itu?

Kalau jawapannya ya, maka kita adalah manusia yang paling ignorant di dunia ini! Sedang ahli keluarga kita terseksa disakiti, kita masih lagi bersorak gembira, tanda setuju dengan kezaliman yang dipamerkan.

Kalau jawapannya tidak, bersyukurlah kerana kita masih lagi dikurniakan sekurang-kurangnya sekelumit nikmat kemanusiaan dalam diri. Terasa sakitnya paha kanan, pabila paha kiri saudara kita disakiti.

Maka, di mana kita sekarang? Masih bersenang-lenang dalam tempurung kaca hidup kita? Masih berselimut erat - enggan keluar daripada keselesaan yang sebenarnya membunuh jiwa kita?

Sedarlah wahai diri. Sudah tiba masanya kita ambil cakna isu umat. Ia bukan sekadar isu kemanusiaan, tetapi isu aqidah.

   ****  

Itulah ibrah perasaan yang aku gambarkan ketika memperbaharui visa tempoh hari. Oh, visa juga perlu diperbaharui ya. Sama juga seperti niat kita pada setiap amalan kita, sentiasa perlu mentajdid niat sebelum meneruskan langkah yang seterusnya.

Bermacam-macam masalah dan kekangan yang perlu ku tempuhi hanya untuk mendapatkan pengesahan visa itu. Urusan visa segala bagai, semua ini memang menyusahkan. Kalau dahulu, sewaktu kekhalifahan Islam tertegak di muka bumi, kita tidak perlu bersusah-payah hendak membuat visa sebagai syarat kemasukan ke sesebuah negara. Selagi kita seorang muslim, kita bebas hendak menjelajah ke mana-mana wilayah taklukan Islam. Rentas sahaja lautan atau benua mana, jika anda seorang muslim, silalah jangan segan-silu untuk melalui wilayah yang mulianya kerana tertegak Islam di situ.

Namun, setelah Perang Dunia ke-2, pihak Barat mula naik. Mereka bangkit dari Zaman Kegelapan kepada zaman keemasan mereka. Di saat umat Islam terleka dengan kemenangan pembukaan Islam di seluruh dunia, pihak lawan mula menyusun strategi. Strategi yang cukup mantap! Sehingga penangannya diterima oleh generasi pada hari ini. Ia akan berterusan menyakiti dan membarahi pewaris-pewaris Islam pada hari ini, jika kita masih berada di takuk lama, masih di pemikiran sempit tidak mahu membangkitkan Islam. Kita tewas bukan kerana lemahnya material kita, tetapi kerana lemahnya semangat jihad kita, lemahnya keimanan sehingga tumpas dengan tawaran dunia yang kecil nilainya ini.

Di saat pihak barat menggantikan tampuk kepimpinan dunia, mereka mula membuat dasar pecah perintah (Divide and rule). Sempadan-sempadan antara negara mula tercipta. Semangat nasionalisme mula terbina. Dan kita sekarang, jika hendak menjejakkan kaki ke bumi yang pernah ditegakkan khalifah 'La ilaaha illallah' suatu ketika dahulu , kita terpaksa melalui beberapa siri tapisan yang dicipta oleh orang kafir itu sendiri.Kasihan betul kita. Menagih simpati di negara sendiri. 

Tepuk dada, tanya iman.
Kita di mana?
Dan di mana umat Islam di mata hati kita?






Wednesday, January 11, 2012

d.e.m.a.m

"Sejak belakangan ini, aku perhatikan kesihatanmu kian merosot.. Memanglah sakit itu kifarah dosa, tapi kesihatanmu perlu dijaga. Tambahan pula musim peperiksaan kian menjelang..."

Aku tersentak seketika tatkala mendengar dialog yang dilafazkan oleh seorang sahabatku ini. Memang ku akui kepetahannya dalam berbicara, mampu memukau para pendengar meskipun baru pertama kali berjual-beli kata dengannya. Hatiku lebih cenderung untuk menghadam satu fakta yang sudah lama ku dengari dan ku ketahui; 'Sakit itu adalah kifarah dosa'

Hari ini, bertubi-tubi aku ditembak oleh deretan peristiwa yang bermaksud pengajaran buatku.. Hingga ke detik ini..

Ketika aku terlantar kesakitan di atas katil, terasa begitu lemahnya diri ini. Hendak menelan liur pun terasa begitu perit tekak ini, apatah lagi untuk melahirkan buah kata yang berjela-jela, mahupun mengangkat beban diri untuk cuba bangkit dari baringan yang berpanjangan. Semalam baru sembuh dari virus demam, hari ini berpindah pula jangkitan itu kepada orang lain. Kini sahabatku pula yang terlantar di baringan menunggu sembuh menjemput diri kembali. Selama sehari suntuk aku benar-benar menghadapi kesakitan dan kesulitan dalam bertindak, esoknya pula dalam sekelip mata aku sembuh tanpa diduga. Begitulah takdirNya, boleh melakukan segala macam tindakan, mampu mentakdirkan segala macam peristiwa, hanya dengan izinNya, hanya apabila dia mengatakan "Jadi!", maka jadilah ia.

Dan selama aku terperuk di dalam bilik 'menghayati' kesakitan, takkanlah tersia untuk Dia hadirkan ketetapan itu pada diriku. Pastinya ada sesuatu yang ingin Dia tunjukkan padaku.

Buat manusia yang leka seperti aku dan buat manusia yang mudah lupa seperti aku, mungkin ini peringatan buatku. Peringatan tentang apa? Peringatan tentang 'kesakitan'. 'Kesakitan' apa? Kesakitan yang aku tidak sedar bahawa aku adalah pesakit yang sedang menghidap satu penyakit. Ya, memang selalu orang yang berpenyakit, atau penghidap suatu penyakit memang tidak pernah mengaku bahawa dia adalah seorang pesakit yang berpenyakit! Cuba kita lihat orang yang menghidap diabetes atau kencing manis, pernahkah dia sedar atau mengaku bahawa,

"Aku adalah pesakit diabetes. Harus kurangkan pengambilan gula dalam gizi pemakananan, dan harus mengambil diet yang seimbang.. peace.. (~_^)v "

Sama sekali tidak! Samalah juga dengan pesakit-pesakit tegar yang lain. Pastinya mereka merasakan bahawa mereka adalah manusia yang paling sihat di alam raya ini. Hakikatnya adalah sebaliknya. Begitu juga dengan kesakitan yang aku alami, untuk aku hayati kesakitan itu. Mungkin sebelum aku ditempah kesakitan itu, aku terlalu leka dengan kehidupan kendiri yang bersifat keduniaan. Kesakitan itu adalah peluang untuk aku berehat sebentar bekerja untuk dunia, press the pause button, and think! Fikir apa yang telah aku lakukan hingga ke detik aku jatuh sakit. Adakah aku menjalankan tugasku yang sebenar sebagai seorang manusia, sebagai seorang khalifah pemakmur alam, sebagai seorang abid yang wajar beribadah menyembahNya. Bila hadirnya sakit, membuatkan aku mendongak ke langit. Bukan hanya berjalan semborono di muka Bumi ini tanpa perasan siapa yang berada di atas, siapa yang berkuasa mengatur seluruh kehidupanku sejak awal kelahiranku hingga ke detik aku baru terfikir tentangNya.

Jika dipaculkan perkataan 'kesakitan' kepada kita, apa yang bermain di kotak fikiran kita atau di benak sanubari kita? Mengapa perlu hadir fikiran lain melainkan peringatan terhadap kesakitan di Hari Kiamat nanti. Sakitnya diseksa di Hari Akhir jika amalan sahih yang ditimbang hanya segenggam pasir, tetapi maksiatnya berkira seguni tanah. Sakitnya diseksa di Hari Azab jika harta yang dipunyai hanya dibelanjakan untuk kemewahan dan keselesaan diri, tetapi begitu kikir didermakan pada yang perlu, begitu bakhil diinfakkan di jalan Allah. Sakitnya diseksa di Hari Kegoncangan jika hidupnya hanya tertumpu pada pandangan manusia, tetapi pandangan Allah diabaikan. Sakitnya diseksa di Hari Pembalasan jika hatinya yang satu dimampatkan dengan kasih sayang dan cinta manusia, tetapi cinta Allah hanya ditampal-tampal kerana tiada lagi ruang untuk mencintaiNya. Aku sudah yakin dan percaya dengannya. Jadi mengapa perlu berlagak sudah bersedia menemuiNya? Peritnya sakit di dunia ini bila nikmat kesihatan yang dipinjam ditarik kembali. Tidak dapat dibayangkan bagaimana peritnya pula siksa di Hari Kiamat yang kekal dan lagi hebat.

Aku cuba merenung lagi ibrah di sebalik kesakitan itu, mengapa kerap benar kesihatanku diuji belakangan ini. Semakin hampir dengan dengan peperiksaan penting, semakin menjadi-jadi pula kekerapan kurang sihat ini. Mungkin Dia mahu aku dan sahabat seperjuanganku turut sedar tentang kekuasaan Dia yang sebenar-benarnya. KekuasaanNya yang hakiki! KekuasaanNya yang sering digembar-gemburkan kepada para mad'u, kepada sekalian khalayak! KekuasaanNya yang mampu mengubah sejarah hanya dengan satu petikan jari! Dia mahu aku, dia dan kalian lihat Dia! Perasankan Dia. Kerana Dia, aku masih gagah berdiri hari ini hatta semalam aku lemah tak terdaya. Kerana Dia, aku diberi peluang menghirup udaranya secara percuma yang menjadi asbab aku bernafas hingga ke saat aku menulis setiap aksara di alam maya ini. Kerana Dia, aku bahagia dan bebas daripada kegeringan. Kerana Dia, dia bahagia, kalian bahagia, kita semua bahagia. Kerana Dia yang mengizinkan semua ini berlaku.

Tanpa izinNya, gadailah sebanyak mana wang dan harta, tetap masam juga wajahnya.
Tanpa izinNya, laburlah sebanyak mana masa bersamanya, tetap derita juga rasanya.
Tanpa izinNya, hantarlah seangkatan tentera untuk menjaga keselamatannya, tetap tidak selamat daripada jatuh sakit.
Tanpa izinNya, curahlah sebanyak mana keprihatinan dan kasih sayang padanya, tetap kosong juga perasaannya.
Tanpa izinNya, buatlah semahu-mahunya apa yang kita fikirkan terbaik untuk kita dan untuk sesiapa sahaja. Tetap hodoh juga keputusannya. Kerana manusia itu lemah, sentiasa tertakluk kepada penguasa teragung iaitu Allah. Maka, janganlah persiakan setiap denyut nadi kita semata-mata bekerja untuk manusia, atau mencari perhatian manusia. Sebaliknya, raihlah dan rebutlah perhatianNya. Semoga berbaloi kesakitan yang dialami atas ibrah yang diilhamkan pada hati.

Sunday, October 9, 2011

Mari beli produk KAMI!! Anda pasti puas hati... terbaikkkk..

Wahhhh,,, sudah sekian lama rasanya aku bersembunyi daripada dunia maya ini.. BLOG.. Salah satu laman sosial yang dahulunya aku sertai sebagai wasilah untuk aku curahkan apa yang tersarat di kotak fikiran untuk meringankan bebanan emosi.. Hakikatnya, inilah manhaj (wasilah/jalan/cara) yang dapat aku gunakan untuk menyampaikan apa yang patut disampaikan oleh seorang PENYAMPAI kepada PENERIMA..  Ya, itulah konsep perkembangan sesuatu ilmu.. Tiada guna ilmu yang diterima itu dibiarkan terbuku di fikiran dan terus terbeku di minda tanpa dipecahkan untuk diselongkari segala macam hikmah dan manfaatnya.. Jika ilmu itu barang dagangan, perlu ada penjual dan pembelinya.. Barulah berkembang perniagaan ilmiah yang berkonsep mutualisme ini.. Saya ini juga seorang peniaga.. Datang berdagang dari jauh.. Harap-harap,, ada orang yang sudi membeli barang dagangan saya ini.. Usah gundah, usah khuatir,, barang dagangan ini pasti bermanfaat untuk para pembeli.,, tidak kira usia tua atau muda, pakcik makcik, adik kakak, atuk nenek,, semuanya boleh membeli.. Apatah lagi meski dikira pangkat mahupun darjat, tidak layak untuk kita menilai pangkat dan darjat seseorang kerana penilaian manusia itu tidak pernah sempurna.. Melainkan penilaian amalannya di sisi Allah.. insyaAllah..=)


Item : Ilmu
Description : Ilmu yang suci, tujuannya menyucikan hati
Producer : Allah, the only God
Price  : Just spare some of your TIME (Not your time actually..it is His!remember that..) to read and digest  this entry
Seller : Da'ie / Murabbi (I'm a beginner in this business.. I'm still new in this world.. )
Rating : Unlimited stars.. More than stars in the sky..






Item Review:


Baiklah, dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, syukur alhamdulillah, masih dikurniakan nikmat hati yang masih dahagakan makanan rohaniah.. Jika ditanya apa khabarku? Secara fizikalnya, bersyukur ke hadratNya kerana masih memiliki tubuh badan yang sihat, tanpa sebarang tanda kebuluran yang kronik.. (No muscle wasting, so, I'm OK! No gluconeogenesis is activated inside my body right now...=) ) Secara emosi dan spiritualnya pula,, masih mampu untuk berdiri tetapi masih lemah untuk berlari,, Namun tidaklah tiada upayaku untuk cuba bangkit dan memulakan langkah baru yang lebih bersemangat berbanding dengan hari-hari lalu..


Baru sebentar tadi mendapat pengisian hati bersama sahabat-sahabat perjuangan, membincangkan tafsir Surah Abasa, surah kelapan puluh dalam senarai surah-surah dalam Al-Quranul Karim, Al-Quran Yang Mulia.. Surah ini mengetengahkan tentang empat perkara yang berbeza.. Pada fasa yang keempat iaitu fasa terakhir, bermula dari ayat 33 sehingga ayat 42 dalam surah ini, Allah menceritakan serba sedikit tentang Hari Kiamat.. Kata Allah,


     "Maka apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari itu manusia lari  dari saudaranya, dan dari ibu dan bapanya, dan dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang menyibukkannya. Pada hari itu ada wajah-wajah yang berseri-seri, tertawa dan gembira-ria, dan pada hari itu ada (pula) wajah-wajah yang tertutup debu (suram), tertutup oleh kegelapan (ditmpa kehinaan dan kesusahan), Mereka itulah orang-orang kafir yang durhaka." [80:33-42]


MasyaAllah,, Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah.. Sejak sekolah rendah lagi kita telah didedahkan dengan Rukun Islam 5 perkara, dan Rukun Iman 6 perkara.. Dan Rukun Iman Yang kelima adalah beriman kepada Hari Kiamat, atau percaya kepada Hari Kiamat yang bakal terjadi! Hari Kiamat di mana seluruh  makhluk ciptaan Allah yang mengisi ruang antara langit dan bumi, serta ciptaanNya yang merangkumi angkasaraya dan alam cakerawala sekalipun,, pasti hancur! Hancur sehancur-hancurnya!! Hancur pada Hari Kiamat ini... Sudah tentu janji Allah itu janji yang pasti kerana Allah tidak pernah mungkir pada janjinya.. 


Imbas kembali..


Setiap orang yang bergelar seorang pelajar, atau seorang manusia mungkin, pastinya pernah merasai bebanan dan erti sebuah ujian atau sebuah peperiksaan.. Sebelum peperiksaan itu berlangsung, kita rasakan kita punyai  banyak masa untuk merancang jadual belajar sebelum tibanya hari peperiksaan.. Kita juga masih punyai ruang untuk memperbaik lompong-lompong ketidakfahaman tentang sesuatu subjek itu.. Apabila tiba hari yang menggerunkan itu, kita melakukan apa yang terdaya dan termampu untuk dikeluarkan oleh akal ketika itu.. Di sinilah pentas untuk kita persembahkan apa yang telah kita usahakan sebelum ini.. Dan apabila tiba saat yang mendebarkan iaitu saat keputusan peperiksaan diumumkan, pelbagai reaksi dapat dilihat  dari pelbagai pihak.. Setiap calon akan melahirkan reaksi dan mempamerkan gerak badan tersendiri.. Ada yang jantungnya tiba-tiba berdegup kencang,tachycardia! (Increase in heart rate) Jiwa terasa tidak tenang, dan segala apa yang dilakukannya terasa tidak kena.. Ada juga yang berlagak tenang, tersenyum dan yakin dengan segala usaha serta pengorbanan yang telah dilakukan sebelum menjelangnya hari peperiksaan.. Jika baik keputusannya,, terpancarlah senyuman dan kegembiraan di wajahnya.. Namun,, jika buruk keputusannya, terpamerlah juga wajah yang bermuram-durja, dengan segala kesedihan yang menyelubungi hati...


Beginilah lumrah manusia.. Fitrah kehidupan.. Peraturan dan hukum alam yang telah ditetapkan oleh Allah.. Perasaan dan emosi juga adalah satu fitrah yang Allah wujudkan dalam diri seorang yang bernama MANUSIA.. Aku juga seorang pelajar,, dan aku juga seorang manusia.. Aku pernah merasai kemanisan kejayaan yang dikecapi.. Sehingga menimbulkan rasa cemburu orang lain pada diriku.. Aku juga pernah merasai keperitan kegagalan dalam peperiksaan besar dalam hidupku.. Peritnya dan beratnya perasaan itu, sehingga mampu membunuh semangat yang seharusnya sentiasa membara pada jiwa seorang pemuda atau pemudi.. Kesengsaraannya seperti hilang motivasi dan kurang kepercayaan serta keyakinan pada diri untuk bertemu dengan khalayak yang dikenali.. Segala perasaan yang dicampakkan oleh Allah pada hati ini sebenarnya adalah ujian daripada seorang tuan yang sangat sayangkan hambaNya.. 


Kegembiraan yang diberikan oleh Allah,, alhamdulillah,, itu adalah rahmat dariNya untuk kita hitung rasa bersyukur padaNya.. Teruskan usaha tanpa rasa jemu kerana kita telah nampak hasilnya jika kita sanggup berkorban demiNya..


Kesedihan dan kepiluan yang dicampakkan pada hati,, alhamdulillah,, astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah.. Satu amaran dari Allah untuk Dia tunjukkan kekuasaanNya pada hambaNya yang lemah.. Perasaan peritnya merasa kegagalan itu adalah anugerah daripadaNya, agar kita berfikir dan beringat tentang pedih dan sakitnya azabNya di akhirat kelak jika sedikit sahaja amalan yang dipersembahkan padaNya pada Hari Kiamat kelak.. Biarlah gagal untuk peperiksaan yang dicipta oleh manusia itu sendiri.. Namun, janganlah mengulangi kegagalan untuk satu peperiksaan yang paling besar kelak.. Peperiksaan yang menentukan pengakhiran kita, sama ada di tempat yang subur dengan keindahan iaitu syurga, ataupun tempat yang terkubur ketenangannya melainkan jeritan diazab yang menjalar untuk menyiksa roh yang ingkar pada tuhannya yang satu...


Dua golongan telah Allah golongkan berdasarkan amalan-amalan yang dilakukan di dunia ini.. Terpulanglah pada kita untuk memilih parti yang mana.. The choice is in your hand.. =)


Ps: Any enquiry please contact 24434...Or directly contact the CEO @ the creator of this product via prayer.. 
Promotion : 
- Keep liaising Him and have a strong faith in Allah to gain more benefit from our product
- To learn and know more about our product, purchase an Al-Quran
- To gain more from us, visit and refer al-quran and al-hadith dot com